suria

Raja Nong Chik Cabar Nurul Izzah Jelaskan Pembangunan Yang Dibawa PKR Di Lembah Pantai

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mencabar penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat menjelaskan kepada penduduk mengenai pembangunan yang telah dilaksanakannya untuk pengundi di kawasan berkenaan.

Raja Nong Chik, calon Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai, berkata beliau sudah beberapa kali mencabar Nurul Izzah, namun belum menerima jawapan.

"Dia tidak boleh sebut apa-apa, sebaliknya mengkritik program BN. Ini salah itu salah. Sudah banyak yang dilakukan oleh kerajaan BN, sebagai contoh Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan membina lebih banyak rumah mampu milik menerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

"Inilah penyelesaian dan alternatif yang kami sediakan untuk rakyat, walaupun tidak sempurna, namun kami akan terus meperbaikinya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Taska 1TNB di sini pada Selasa.

Kerusi Parlimen Lembah Pantai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Raja Nong Chik, Nurul Izzah dan calon Bebas Rusli Baba.

Sambil menekankan Prinsip 7P - pembangunan, perumahan, penyelenggaraan, penjaja, penguatkuasaan, pengangkutan awam dan sikap penyayang - Raja Nong Chik yang juga ketua Umno bahagian itu berkata ia bermatlamat memberi manfaat yang lebih baik kepada penduduk Lembah Pantai.

Beliau berkata memandangkan keselamatan merupakan isu utama yang dihadapi penduduk, "kami kini bekerjasama dengan polis untuk membantu penduduk di Bangsar".

"Kami mahu menambah bilangan anggota Unit Simpanan Persekutuan dan Rela bagi menangani isu keselamatan di kawasan itu," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain