suria

Obama Dijangka Hadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Ke-4 Di KL

PUTRAJAYA: Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Ke-4 (GES) 2013 di Kuala Lumpur pada 11 Oktober yang akan menandakan lawatan pertama beliau ke Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Irwan Serigar Abdullah berkata setakat ini, petunjuk daripada Rumah Putih adalah positif tentang kemungkinan Obama menghadiri sidang kemuncak itu.

"Para pemimpin dunia akan berhimpun di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013 di Bali, Indonesia, dari 5-7 Oktober.

"Kami (Kementerian Kewangan) akan menjemput mereka menghadiri Sidang Kemuncak GES yang akan diadakan di Kuala Lumpur selepas itu," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran awal GES 2013, di sini, Rabu.

GES itu adalah susulan kepada komitmen Obama yang menekankan kepada kepentingan keusahawanan di negara-negara dengan majoriti orang Islam seluruh dunia.

Sidang kemuncak dua hari itu yang bertemakan, "Empowering and Connecting Entrepreneurs", akan dianjurkan oleh Perbendaharaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan AS Lee McClenny berkata: "Kami telah dimaklumkan oleh Rumah Putih bahawa Presiden berhasrat datang ke Kuala Lumpur dan menyertai sidang kemuncak itu sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke Asia Tenggara."

Beliau berkata Presiden akan menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC dan berhasrat untuk singgah di Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak GES.

Sidang Kemuncak presiden tentang usahawan kali pertama diadakan di Washington pada 2010, diikuti Turki (2011) dan Emiriah Arab Bersatu (2012).

GES mengumpulkan usahawan dari Timur Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat dan menyediakan platform penting bagi usahawan untuk berangkaian, bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan, serta membentuk perikatan perniagaan.

Apa yang lebih penting, sidang kemuncak itu turut dihadiri oleh penggubal dasar, pengawal selia, usahawan, perusahaan kecil dan sederhana, pemegang kepentingan, pelabur, ketua-ketua korporat, organisasi bukan kerajaan dan inkubator bagi membincangkan sokongan dan pembangunan ekosistem PKS.

GES 2013 dijangka menarik kira-kira 3,000 peserta dari seluruh dunia yang terdiri daripada usahawan, ahli akademik, golongan profesional dan buat pertama kali wakil-wakil dari negara anggota Asean.

Irwan berkata penganjuran GES itu adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan bilangan usahawan di negara ini.

"Ini merupakan satu titik penting dalam pembangunan keusahawanan di Malaysia. GES akan menjadi satu platform bagi usahawan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing.

"Mereka juga boleh mengembangkan jaringan perniagaan di samping memasarkan produk mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain