suria

Majikan Swasta Digesa Benarkan Pekerja Mengundi

KUALA LUMPUR: Majikan sektor swasta diingatkan supaya membenarkan pekerja mereka menunaikan hak sebagai warganegara untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Mohd Jeffrey Joakim, menarik perhatian hak seseorang termasuk pekerja untuk mengundi diperuntukkan di bawah Seksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menyarankan majikan sektor swasta mengambil langkah-langkah tertentu seperti memberi 'time-off' munasabah kepada pekerja yang akan mengundi di tempat pengundian berdekatan dengan tempat kerja.

"Mereka juga boleh memberi hari kelepasan kepada pekerja yang perlu mengundi di tempat pengundian yang jauh dari tempat kerja dan menggantikannya dengan hari lain," katanya.

Langkah lain yang boleh diambil ialah membenarkan pekerja yang ingin balik ke tempat atau negeri asal untuk mengundi mengambil cuti tahunan.

"Majikan hendaklah merundingkan soal pemberian 'time-off' atau hari kelepasan yang digantikan dengan pekerja-pekerja berkenaan," kata Mohd Jeffrey sambil menasihatkan pekerja supaya mengambil cuti tahunan sekiranya mereka perlu balik ke negeri asal untuk mengundi.

Mohd Jeffrey menegaskan majikan yang tidak mematuhi peruntukan mengikut Seksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain