suria

Insiden Letupan: Polis Pertingkat Kawalan Di Seluruh Negara

IPOH: Polis akan mempertingkatkan pemeriksaan dan kawalan di lokasi-lokasi ceramah di seluruh negara bagi mengelak berulangnya insiden letupan seperti berlaku di Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pemantauan serta pemeriksaan rapi akan dijalankan di sekitar kawasan ceramah, sebelum dan ketika ceramah berlangsung bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.

"Kesemua parti diingatkan untuk memberikan kerjasama dan memohon permit ceramah pada ketua polis daerah masing-masing agar pihak polis boleh mengambil tindakan awal bagi memastikan keselamatan semua terjamin.

"Kita mahu bagi jaminan kepada semua termasuk masyarakat di Pulau Pinang bahawa polis akan sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan semua. Kita memandang serius akan hal ini dan tidak mahu ia berlaku lagi," katanya kepada pemberita selepas memantau persiapan polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Rabu.

Ismail mengulas mengenai kejadian letupan di kawasan ceramah anjuran Barisan Nasional di perkarangan Bilik Gerakan Barisan Nasional (BBN) Nibong Tebal yang menyebabkan seorang lelaki cedera di kaki.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh diklasifikasikan sebagai jenayah berat yang mampu mengganggu kelancaran proses pilihan raya serta amat berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan serta kematian.

Ismail turut memberi amaran kepada individu yang memasang letupan buatan tangan itu agar menyerah diri kepada pihak polis atau akan diburu walau di mana pun suspek cuba bersembunyi.

"Saya hendak beri amaran agar jangan sesekali cuba menakut-nakutkan orang ramai dengan membuat sesuatu yang boleh menggugat dan mengancam ketenteraman orang awam serta negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata persiapan dan perancangan polis Perak hingga ke hari pembuangan undi pada 5 Mei ini adalah dalam keadaan baik dan keadaan di Perak terkawal.

Sementara itu, Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Keselamatan Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mengadakan pertemuan tertutup dengan Ismail berkata beliau berpuas hati dengan tahap persiapan polis bagi menghadapi pilihan raya umum itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain