KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang ahli perniagaan, termasuk melarikan kereta milik lelaki itu, dua minggu lepas.S. Rajiv, 25, dan abangnya S. Vijaikanth, 28, serta A. Vicneswaran, 24, dan R. Muniandy, 44, didakwa dengan niat bersama merompak sebuah dompet mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM, dua keping kad kredit, sebuah telefon bimbit, wang tunai serta Toyota Camry, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM110,000 milik Fam Chee Ming, 46. Mereka yang ditangkap pada 11 April lepas, didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan sebilah parang di Jalan Gembira, Happy Garden dekat sini pada 5.30 pagi, 10 April lalu.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh, namun peguam Tharamjit Singh yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan RM5,000 dengan alasan jumlah yang dipohon pendakwaan adalah tinggi dan membebankan keluarga mereka.Hakim Dazuki Ali membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei untuk sebutan kes. - BERNAMA