suria

PM Ajak Rakyat Sabah Jadikan 5 Mei Medan Tolak Pembangkang

KUALA PENYU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Sabah menjadikan pilihan raya umum 5 Mei ini sebagai medan untuk menolak pembangkang yang memutar belit isu keselamatan dan keamanan di Sabah sebagai satu sandiwara.

Najib menegaskan hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu memberi jaminan berhubung soal keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah.

"Rakyat Sabah harus menyatakan (tolak pembangkang) 5 Mei ini. Ini (kedaulatan Sabah) mesti dipertahankan kerana ia lebih besar daripada soal pembangunan, lebih besar daripada (janji) jalan tar yang dikotakan.

"...Ini bukan soal kerusi (kawasan) tapi soal maruah dan kedaulatan Sabah di bumi Malaysia yang BN berjanji tetap dipertahankan dengan nyawa sekalipun," katanya ketika berucap pada majlis jerayawara Yayasan Sabah bersama rakyat di pekan Kuala Penyu di sini Selasa.

Majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 8,000 rakyat pelbagai lapisan itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang juga calon BN untuk Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, calon kerusi DUN Klias, Isnin Aliasneh dan calon muka baharu DUN Kuala Penyu, Limus Jury.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata rakyat Sabah tidak harus berfikir panjang dalam menilai pembangkang kerana mereka sebenarnya sudah bijak membuat pilihan. "Peristiwa (pencerobohan pengganas di) Lahad Datu seharusnya jadi iktibar yang mana orang yang kemaruk kuasa dan mempersoal kedaulatan negara tidak boleh dibenarkan berjaya," katanya.

Najib menarik perhatian bahawa kerajaan BN berjaya membawa kemakmuran menerusi program transformasi yang merupakan pendekatan lebih bermakna berbanding reformasi laungan pembangkang yang tidak membawa apa-apa kemajuan.

Sambil mengulangi manifesto BN lebih merupakan aku janji untuk kesejahteraan rakyat Malaysia, beliau memuji manifesto tambahan BN Sabah yang turut mengandungi kad laporan kerajaan negeri.

Menurutnya, berdasarkan kad laporan itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Musa berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah, termasuk mengurangkan kadar kemiskinan.

Artikel Lain