suria

Penerima JKM Dinasihat Berhati-Hati & Tidak Serah Mykad - Ahmad Said

BESUT: Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinasihati supaya berhati-hati supaya tidak diperdaya oleh tindakan pihak tertentu yang tidak mahu mereka keluar mengundi 5 Mei ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ini disebabkan mereka mungkin menjadi sasaran memandangkan majoriti penerima JKM terdiri daripada golongan warga emas, ibu tunggal dan OKU (Orang Kelainan Upaya).

"Patuhilah nasihat Suruhanjaya Pilihan Raya supaya tidak menyerahkan kad pengenalan atau memberi kebenaran kepada orang yang tidak dikenali meconteng jari dengan dakwat hitam sebelum hari pengundian, yang akan menyebabkan anda tidak dapat mengundi," katanya.

Ahmad berkata demikian semasa berucap kepada 1,265 penerima bantuan kebajikan masyarakat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera di Kompleks Rakan Muda Kampung Raja di sini, Selasa.

Turut hadir calon Barisan Nasional Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh, Dr A Rahman Mokhtar (DUN Kuala Besut) dan Mohd Mahdi Musa (DUN Kota Putera).

Beliau turut meminta penerima bantuan JKM supaya terus memberi sokongan padu terhadap kerajaan BN sebagai membalas budi kepada kerajaan yang telah berjasa kepada mereka. Sementara itu, Idris berkata PAS dan PKR nyata sudah tidak sealiran sehingga berlaku kekecohan dalam menentukan kerusi selepas hari penamaan calon pada 20 April lepas. Menurutnya mereka (PAS dan PKR) kononnya sudah seia sekata dalam pakatan rakyat, namun berlaku pertindihan penamaan kerusi bagi kedua-dua calon parti berkenaan.

Sepatutnya mereka duduk semeja berbincang mengenai calon secara muktamad lebih awal lagi dan bukan baru nak membetulkan keadaan selepas itu," katanya.

Menurutnya kemelut itu ternyata menguntungkan BN seperti di Besut yang membolehkan calon BN mudah masuk untuk berkempen dari rumah ke rumah pengikut dan penyokong PAS berbanding pada pilihan raya umum lepas. -BERNAMA

Artikel Lain