suria

Kesibukan Tugas Pilihan Raya, Ops Daulat Tidak Lekakan Polis Marin Cegah Penyeludupan

TAWAU: Kesibukan anggota keselamatan melaksanakan tugas Operasi Daulat dan musim kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini tidak menjejaskan usaha Pasukan Polis Marin (PPM) membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan.

Ini terbukti apabila PPM Tawau berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup keluar 1,832 kilogram gula pasir dari Tawau menggunakan feri penumpang, dalam dua kes sejak dua hari lepas, di kawasan perairan daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata sebanyak 1,400 kilogram gula dirampas dari sebuah feri yang dalam perjalanan dari Tawau ke Nunukan, Indonesia, kira-kira pukul 4.30 petang semalam ketika anggota agensi itu menjalankan Ops Landai.

Turut dirampas, 270 kilogram tepung dan 498 kilogram minyak masak pelbagai jenis selain 10 tong gas memasak.

"Barangan kawalan yang dirampas berkenaan ditemui di bahagian penyimpanan bagasi dan ruang bilik jentera," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Awang Besar berkata 432 kilogram gula pasir lagi dirampas dari sebuah feri penumpang kira-kira pukul 2.20 petang, 18 April lepas ketika feri yang sedang berlabuh itu diperiksa anggota PPM dalam Ops Landai.

Kesemua barangan rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM7,980 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. -BERNAMA

Artikel Lain