suria

Hilang Ketua: Semangat Wanita Umno Di K.Kangsar Tidak Luntur - Shahrizat

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
 Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

KUALA KANGSAR: Semangat anggota wanita Umno dan Barisan Nasional (BN) di Kuala Kangsar tidak luntur walaupun ketiadaan ketua mereka Datuk Kamilia Ibrahim.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata walaupun keputusan Kamilia bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar mengejutkan anggotanya, ia tidak menjejaskan jentera Jalinan Rakyat yang digerakkan sayap parti untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Saya nampak taat setia mereka kepada parti dan semangat mereka tidak luntur langsung.

"Walaupun dalam sehari dua saya dimaklumkan mereka terkejut dengan apa yang berlaku tetapi selepas hari kedua dan ketiga mereka sudah pulih dan kerja-kerja sudah dijalankan," katanya dekat sini, Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Jalinan Rakyat Parlimen Kuala Kangsar yang dihadiri seramai kira-kira 700 anggota.

Menurut Shahrizat semangat kesetiaan dan setiakawan masih kekal dalam diri pemimpin dan anggota parti di Perak, khususnya Kuala Kangsar walau ketiadaan bekas naib ketua wanita Umno itu.

Katanya, setiap anggota juga menunjukkan sokongan penuh mereka terhadap calon-calon BN di peringkat DUN dan Parlimen.

Beliau turut mengumumkan Nor Rizan Subhi sebagai pemangku Naib Ketua Wanita Umno Kuala Kangsar dan Setiausaha Aishah Halid yang akan memimpin anggota dan jentera parti di kawasan ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tujuan utama kunjungannya ke Kuala Kangsar bukan untuk meredakan keadaan semata-mata sebaliknya untuk memastikan jentera berjalan lancar seterusnya memastikan kemenangan BN.

Katanya setiap anggota sayap parti itu telah ditetapkan sistem yang jelas dan diajar supaya bersabar apabila menyerah diri kepada visi dan semangat organisasi.

"Saya tak payah redakan kawasan ini sebab setiap hari saya akan hubungi mereka beberapa kali sehari.

"Mereka manusia biasa hari penamaan calon memang semua terkejut tapi saya tak perlu redakan mereka sebab selepas itu mereka sudah pulih. Mereka tahu kerja perlu dijalankan.

"Dalam politik ia bukan persatuan kebajikan. Ini PRU...bukan situasi atau landskap yang boleh kita gadaikan agama, bangsa dan negara," ujarnya.

Ditanya mengenai kemungkinan Kamilia akan mendapat undi simpati Shahrizat berkata: Rakyat Malaysia waras dan mereka bukan mengundi kerana simpati kepada sesiapa sebaliknya mengundi untuk penubuhan kerajaan.

Isu di Kuala Kangsar timbul apabila Kamilia tidak dinamakan sebagai calon di peringkat Parlimen dan mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar.

Artikel Lain