suria

BN Sasar Jadikan Kulim-Bandar Baharu Permata Kedua Kedah

KULIM: Barisan Nasional (BN) Kulim/Bandar Baharu mahu menjadikan kawasan itu sebagai 'permata' kedua Kedah, selepas Langkawi yang menjadi pulau peranginan tumpuan pelancong.

Calon BN bagi kerusi parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata kewujudan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) harus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin pembangunan di Kulim dan kawasan sekitar.

Walaupun KTHP berada dalam kawasan Parlimen Padang Serai, kedudukannya lebih hampir dengan Kulim, dan BN menerusi manifesto khusus akan berusaha menaikkan daerah ini dengan berpusatkan KTHP, katanya kepada Bernama.

KTHP menempatkan 31 syarikat besar dengan nilai pelaburan lebih RM30 bilion selain lebih 40 syarikat kecil.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata tempoh lima tahun lepas adalah satu pembaziran masa yang amat merugikan penduduk kerana pembangkang yang menguasai kerusi parlimen dan dua kerusi dewan undangan negeri (DUN), gagal memanfaatkan KTHP.

Pada 2008, Abdul Aziz yang bertanding di kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu kalah kepada calon PKR Zulkifli Noordin, namun pada 2010 Zulkifli yang kini bergelar Datuk bertindak keluar parti dan menjadi wakil Bebas.

Kali ini Abdul Aziz menentang Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Mengenai kehadiran Saifuddin, beliau berkata: "Rakyat tidak harus terpegun dengan nama besar yang diletak PKR di kerusi parlimen ini. PKR sepatutnya malu kerana anggota parlimen yang menang atas tiketnya sebelum ini bertindak keluar parti selepas kecewa parti gagal penuhi kehendak rakyat."

Kawasan parlimen itu mempunyai 61,062 pengundi dengan 67.6 peratus Melayu, 19.3 peratus Cina, India (12.9 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus).

Sementara itu, dua kawasan DUN iaitu Kulim dan Bandar Baharu masing-masing menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan satu lawan satu.

DUN Kulim ditandingi calon BN Chua Thiong Ghee, Chu Maw Nian (PKR) dan Mohd Junip Huzayin (Berjasa), manakala DUN Bandar Baharu menyaksikan pertembungan Norsabrina Mohd Noor (BN) dan Mohd Khairi Mohd Salleh (PAS).

Sementara itu, calon BN di DUN Kulim, Chua, 41 berkata masyarakat setempat mengharapkan perubahan, terutama infrastruktur asas yang perlu dinaik taraf.

Norsabrina, 34, pula yakin kepincangan kerajaan negeri pimpinan PAS akan mengalih sokongan rakyat kepada BN pada pilihan raya umum kali ini. -BERNAMA

Artikel Lain