suria

Musa Aman Lancar Manifesto BN Sabah Rangkumi 16 Hala Tuju Pembangunan Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada Isnin melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah bertemakan 'Kami Telah Tunaikan Lebih Banyak Lagi Akan Dilaksanakan', yang mengandungi 16 perkara utama, merangkumi hala tuju pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Manifesto itu merupakan pelengkap kepada manifesto nasional yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak "Manifesto ini adalah komitmen dan iltizam kita semua dalam meneruskan perjuangan yang sentiasa dekat di hati rakyat.

"Ia telah dipersetujui selepas perbincangan oleh semua parti komponen yang mengambil kira semua pihak kerana kita tidak populis dan kita berpijak di bumi yang nyata," kata Musa yang juga penyelaras BN negeri pada majlis pelancaran di Bangunan Umno di sini.

Antara kandungan manifesto itu ialah komitmen untuk melaksanakan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani pendatang haram, memelihara dan memperkenalkan ordinan tanah yang relevan dan mempertahankan keamanan serta keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM).

Manifesto itu juga mengandungi janji BN yang akan memastikan peluang saksama dalam perkhidmatan negeri, meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah.

BN juga akan mendokong Perjanjian 20 Perkara selain mengurangkan tahap kemiskinan kepada tiga peratus dalam tempoh lima tahun, memelihara alam sekitar, membanteras rasuah, perundingan dengan masyarakat dalam membuat dasar serta sasaran terhadap pembangunan belia dan sukan.

Golongan wanita juga tidak dilupakan apabila manifesto itu turut melibatkan usaha memperkasa wanita dan memastikan kesaksamaan gender, meningkatkan pembangunan modal insan, penyertaan dalam ekonomi moden, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta keberkesanan badan-badan negeri.

Musa berkata segala janji dalam kandungan manifesto itu akan ditunaikan sekiranya kerajaan BN mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum ini.

Malah, beliau percaya rakyat Sabah akan bijak membuat penilaian terhadap pencapaian kerajaan BN sepertimana terkandung dalam manifesto yang akan diedarkan kepada seluruh rakyat Sabah.

Menurutnya, manifesto itu akan diedar bersama aku janji BN nasional serta buletin BN dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kadazandusun. Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Musa berkata manifesto yang dilancarkan itu adalah praktikal yang mampu dilaksanakan apabila mentadbir kerajaan negeri dan pusat.

"Manifesto ini adalah amat realistik dan berpijak di bumi yang nyata boleh dlaksanakan sedangkan manifesto pembangkang semuanya tidak betul dan tidak boleh melaksanakan segala janjinya," katanya.

Turut hadir kesemua calon BN pada pilihan raya umum ini termasuk pemimpin parti komponen BN iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Pairin Kitingan, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk VK Liew. -BERNAMA

Artikel Lain