suria

Mahkamah Tetapkan 6 Mei Dengar Permohonan Batal Tuduhan Terhada Yazid & Dua Lagi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 Mei ini untuk mendengar permohonan bagi membatalkan tuduhan terhadap bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan dua individu yang lain.

Yazid, didakwa terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan dan bersubahat bagi mengugut orang awam di Syria, tahun lepas manakala dua individu tersebut iaitu Halimah Hussein dan Muhammad Hilmi Hasim dituduh bersubahat dengan Yazid dalam melakukan kesalahan itu.

Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh tersebut selepas pihak responden yang diwakili timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamad serta Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan pemohon diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, masing-masing bersetuju.

Pada hari ini mahkamah dijadualkan mendengar permohonan tersebut tetapi peguam Amer Hamzah memohon penangguhan kerana pihaknya baru menerima tiga afidavit daripada respondan (pihak pendakwaan) dan masih menunggu dua lagi afidavit berkaitan kes berkenaan.

"Pihak kami memerlukan sedikit masa untuk meneliti semula afidavit-afidavit tersebut yang diserahkan oleh responden hari ini,"katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah mengesahkannya dan memberitahu pihaknya menganggarkan lapan puluh peratus dokumen telah diserahkan dan bersetuju pada 30 April ini untuk mengadakan pertemuan antara mereka untuk memuktamadkan isu-isu yang dibincangkan, selain senarai saksi-saksi yang akan dipanggil.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Amer Hamzah memberitahu pihaknya membuat permohonan tersebut atas alasan pertuduhan terhadap kesemua anak guamnya itu bersifat malafide (berniat jahat) dan tidak berasas.

Yazid, 49, pengusaha kantin di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi, pada 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012.

Manakala Halimah, 52, dan Muhammad Hilmi, 33, didakwa bersubahat dengan Yazid bagi melakukan kesalahan tersebut di tempat dan masa yang sama.

Yazid didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) manakala Halimah dan Hilmi didakwa bersubahat dengan Yazid mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang kedua-duanya membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Mereka merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Kanun Keseksaan atas kesalahan membabitkan diri dalam aktiviti keganasan selepas ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012 dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas). -BERNAMA

Artikel Lain