suria

Logo PAS: Tanda DAP Terima Negara Islam Secara Berperingkat - Nik Aziz

PENGKALAN CHEPA: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, langkah DAP menggunakan logo PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menunjukkan penerimaan parti sekutunya itu terhadap konsep negara Islam secara berperingkat.

Beliau berkata, pengguna logo PAS itu adalah tanda DAP tidak takut pada Islam atau Islamofobia.

"Dia (DAP) terima logo PAS tanda bahawa DAP tidak Islamophobia. Ini adalah peringkat-peringkatlah (menerima sebuah negara Islam)," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh pada Sabtu bahawa DAP tetap menolak dasar PAS termasuk hukum hudud meskipun parti itu terpaksa bertanding menggunakan lambang PAS dalam PRU-13.

Karpal berkata, kesediaan parti itu menggunakan logo PAS tidak bermakna DAP menerima setiap dasar PAS.

Beliau dipetik sebagai berkata, tindakan DAP itu hanya melambangkan kerjasama untuk kedua-dua parti dalam pakatan rakyat.

Sementara itu, Nik Aziz berkata, penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib atau Mat Taib adalah suatu keputusan yang tepat pada masanya.

Menurut Nik Aziz, beliau membayangkan Mat Taib mungkin akan dipilih sebagai calon PAS untuk bertanding pada PRU-13 sekiranya beliau menyertai parti itu lebih awal.

"Saya kata, dia 'maghi' (masuk parti) lewat kena jadi makmum-lah (ahli parti), kalau 'maghi' awal jadi imam-lah (calon PRU-13)," katanya.

Mat Taib yang juga bekas Naib Presiden Umno akhirnya secara rasmi menyertai PAS pada Isnin.

Artikel Lain