suria

Ketua Umno Muar Difitnah Sumbang Air Mineral Kepada Pembangkang

MUAR: Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Mohamad Ismail Mohd Shah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, berkaitan fitnah sebuah blog yang menuduhnya menyumbangkan 2,000 botol air mineral kepada petugas di Bilik Gerakan utama Pakatan Rakyat (PR) di Parit Tarom, Parit Jawa, di sini, Isnin.

Menurutnya, beliau berasa kesal dengan tuduhan tidak berasas itu yang boleh merosakkan reputasinya sebagai ketua Umno yang disandangnya sejak 13 tahun lalu.

“Saya menyedari perkara itu pada pukul 11 malam Sabtu, selepas menerima panggilan telefon daripada seorang rakan dan amat terkejut apabila membaca artikel yang boleh dianggap tidak masuk akal.

“Pihak tidak bertanggungjawab sengaja memainkan isu ini sebagai modal berunsur jahat untuk mengurangkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13),”katanya ketika ditemui sejurus selepas membuat laporan polis berkenaan.

Beliau yang juga Pengarah Jentera PRU-13 Parlimen Muar berkata, fitnah tersebut bertujuan memburukkannya seolah-olah tidak setia kepada Umno serta mahu merosakkan hubungan baiknya bersama akar umbi.

Mohd Ismail yang diiringi tiga peguam peribadinya memberi amaran kepada pihak yang terbabit supaya segera berhenti daripada terus melemparkan tomahan tidak berasa kepadanya.

Tegasnya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog itu kerana fitnah sedemikian turut boleh menjejaskan perniagaannya.

“Mana mungkin saya akan lakukan perkara itu (sumbang air mineral) dan mereka tidak seharusnya bertindak sedemikian tanpa bukti yang kukuh,”katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak berkuasa agar menyiasat perkara tersebut dengan segera supaya dalang yang bertanggungjawab dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

Artikel Lain