suria

Karpal Singh Minta Dr M Mohon Maaf

GEORGE TOWN: Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh pada Isnin meminta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang didakwanya bersifat memfitnah terhadap penasihat parti itu Lim Kit Siang, yang bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah.

Beliau berkata pada 11 April, Dr Mahathir membuat kenyataan berkenaan melalui blognya, 'Chedet', yang merujuk Lim sebagai seorang yang mengamalkan sikap perkauman dan tidak peka dengan masyarakat pelbagai budaya.

"Sepucuk surat sudah dihantar kepada Dr Mahathir pada Isnin dan beliau mempunyai masa tiga hari, mulai Selasa, untuk menarik balik (kenyataan itu) serta memohon maaf dan jika beliau gagal berbuat demikian, satu tindakan undang-undang akan dimulakan terhadap beliau," katanya kepada pemberita di sini.

Satu laporan polis akan dibuat terhadap Dr Mahathir berhubung kenyataannya itu, kata beliau, sambil menambah: "Semoga ini menjadi pengajaran kepada ahli politik agar tidak melakukan serangan peribadi dalam bentuk fitnah dan hasutan semasa berkempen untuk pilihan raya umum ini."

Dalam blognya, Dr Mahathir berkata Lim bertanding di Gelang Patah kerana ia merupakan kawasan majoriti Cina dan beliau akan memainkan sentimen kaum itu.

Lim akan ditentang Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman bagi kerusi itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Pada pilihan raya umum 2008, calon BN Tan Ah Eng daripada MCA mengekalkan kerusi berkenaan apabila beliau mengalahkan calon PKR Dr Zaleha Mustafa dengan majoriti 8,851 undi. - BERNAMA

Artikel Lain