suria

Kamilia Tahu Tawaran Parti Tanding Di DUN Bukit Chandan - Ahmad Husni

IPOH: Timbalan Pengerusi Umno Perak Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata bekas naib ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim mengetahui mengenai tawaran parti untuk beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan di Kuala Kangsar.

"Saya kata dia tahu kerana pada satu ketika semasa saya bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib, ada menerima mesej daripada beliau (Kamilia). Saya tak nak beritahu apa mesej itu. Mengarut kalau dia tidak tahu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan makan amal 1Malaysia anjuran Persatuan Kebajikan, Perpaduan dan Kemajuan Masyarakat India Negeri Perak (Permasip) di sini Ahad.

Ahmad Husni mengulas kemungkinan Kamilia tidak mengetahui tawaran parti untuk bertanding di DUN Bukit Chandan sehingga membawa kepada tindakan beliau bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

"Sebab dia besar kepala, dia rasa dia Naib Ketua Wanita, dia patut diberikan kerusi Parlimen, dia egoistik, dia akan menyesal, namun dah terlewat," katanya.

Ahmad Husni berkata pilihan raya bukan berkisar hanya kepada calon dan nama besar, malah yang penting bergantung kepada kekuatan dan keampuhan jentera masing-masing.

"Bagaimana jentera dia, jentera dia nak ke mana, di mana dia akan mendapat sokongan jentera untuk dirinya. Saya rasa beliau akan kecewa kerana akhirnya tidak ada sesiapa yang akan membantunya," katanya.

Di TAIPING, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula menyifatkan tindakan Kamilia sebagai satu pengkhianatan kepada parti dan contoh yang tidak baik ditunjukkan oleh seorang pemimpin tertinggi wanita, dan wajar dipecat.

"Orang yang bertanding bebas ini semuanya berkepentingan diri dan merasakan mereka seolah-olah layak menjadi calon tetapi terlupa bahawa dia nampak layak sebab parti yang menyokong dia. Tapi kalau dia bertanding sendiri secara bebas, dia tidak akan menang kerana yang kuat bukan individu tetapi parti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Perak di sini.

Semasa proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam, Kamilia, 61, membuat kejutan apabila mengemukakan borang pencalonan sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen Kuala Kangsar, menggunakan lambang buku.

Ia sekali gus menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara beliau, calon B NDatuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Khalil Idham Lim daripada PAS.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar sebelum ini disandang bekas ketua wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz selama enam penggal bermula pilihan raya umum 1986.

Di PAPAR, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yakin sokongan kukuh anggotanya tidak akan mengakibatkan berlakunya pecahan undi di Parlimen Kuala Kangsar.

Malah, Shahrizat berkata tindakan itu sebaliknya akan membawa kelebihan kepada parti kerana lebih ramai pengundi, termasuk pengundi atas pagar, pasti memilih calon BN.

"Tindakan itu tidak akan memecah undi kerana orang Umno mengundi atas kepercayaan dan keyakinan kepada perjuangan parti dan BN.

"Jika ada sekalipun perkara itu, mungkin berlaku di pihak pembangkang. Mungkin akan ada yang nak bagi (undi) kepada Kamilia. Berapa...kita tengoklah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera Jalinan Rakyat di Kampung Kuala, di sini Ahad.

Dalam pada itu, Shahrizat yang juga pengerusi Wanita BN membidas kenyataan pembangkang yang menyifatkan pertembungan di Kuala Kangsar sebagai persaingan antara PAS dan Bebas, seolah-olah memperkecilkan kemampuan BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Shahrizat yang menyesali tindakan Kamilia menegaskan bahawa tindakan itu tidak memberi kesan kepada persiapan atau menjejaskan moral jentera Jalinan Rakyat Kuala Kangsar.

"Saya berhubung dengan Naib Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar Nor Rizan Subehi dan beliau mengesahkan selepas tindakan mengejutkan itu, ada beberapa sahaja Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sana yang ditutup. Tetapi tak sampai sehari, iaitu malam Sabtu, semua PDM ini telah kembali dibuka dan kembali ke perjuangan Umno serta BN," katanya.

Shahrizat berkata beliau juga akan berkunjung ke Kuala Kangsar pada Selasa ini bagi menemui kepimpinan parti di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Rashid Shirlin yang juga calon BN Parlimen Papar memberi peringatan bahawa beliau juga tidak akan berkompromi dan tindakan tegas harus diambil terhadap mana-mana anggota pergerakan itu yang melanggar Perlembagaan atau Lembaga Disiplin Parti pada pilihan raya ini. - BERNAMA

Artikel Lain