suria

Isu Pertindihan Kerusi PAS-PKR Temui Jalan Buntu - Salahuddin Ayob

KUALA LUMPUR: PAS dan PKR masih belum menyelesaikan isu pertindihan calon antara kedua-dua parti pembangkang itu di satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum 5 Mei ini, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut itu.

Katanya mesyuarat Dewan Harian pada Isnin tidak akan membincangkan isu berkenaan. "Akan ada satu mesyuarat dalam masa terdekat. Dan segala keputusan akan diumumkan selepas mesyuarat berkenaan, "katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keanggotaan PAS oleh bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib di ibu pejabat parti itu di sini Isnin.

Ditanya kemungkinan PAS tidak akan berkerjasama lagi dengan PKR jika penyelesaian isu itu menemui jalan buntu, Salahuddin berkata: "Ia tidak akan berlaku". Pada hari penamaan calon Sabtu lepas, PAS menamakan Hadnan Mohamad manakala Tan Sri Ibrahim Manudi menwakili PKR bagi kerusi Parlimen Labuan.

Pertindihan turut berlaku di enam kerusi DUN iaitu Sungai Acheh (Pulau Pinang), Kota Damansara (Selangor), Bukit Besi , Kota Putra, Seberang Takir, ketiga-tiganya di Terengganu dan Panti (Johor). -BERNAMA

Artikel Lain