suria

Ibu Terima Dua SMS Minta Wang RM3,000 Untuk Kembalikan William

PETALING JAYA: Ibu Willam Yau Zhen Zhong memberitahu Mahkamah Koroner pada Isnin bahawa beliau menerima dua khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan yang meminta sebanyak RM3,000 dimasukkan ke dalam akaun bank sekiranya mahu anak lelakinya itu dikembalikan.

Goh Ying Ying berkata SMS pertama diterimanya selepas enam hari kehilangan William yang memaklumkan anaknya berada di Kajang dan akan menyerahkan William dengan selamat jika Goh memasukkan RM3,000 seperti yang diarahkan.

"SMS kedua yang saya terima pada 23 Jan lepas menyatakan anak saya berada dalam tangannya (pengirim SMS) jika mahu anak saya dikembalikan, (perlu) 'bank in' RM3,000...(dia) beritahu tidak boleh lapor pada balai polis, jika lapor anak saya akan dibunuh," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian William, 6 tahun.

Kedua-dua SMS dalam bahasa Mandarin itu diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Koroner Mohd Hezri Shaharil.

Ketika disoal mengenai perwatakan William, Goh berkata anak keduanya itu merupakan seorang yang sangat comel, selalu ketawa dan takut kepada keadaan gelap.

"Kadangkala dia pandai menipu apabila hendak lakukan sesuatu yang dia suka, contohnya dia minum air epal sejuk, lepas saya kenal pasti dia yang minum dan bertanya kepadanya, dia tidak akan mengaku minum air itu.

"Bagaimanapun, saya akan menasihatinya dan beritahu dia tidak boleh minum air sejuk itu kerana dia tidak sihat dan William merupakan anak premature (pra matang) serta pernah mengalami kesukaran bernafas ketika kecil," katanya.

Mayat William ditemui pada 24 Januari lepas di Jeti Kampung Sungai Sireh selepas dilaporkan hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Sementara itu, ketika disoal Mohd Hezri sama ada suaminya Yau Kok Kang, 33, seorang pemabuk dan pernah memukul dan mengugutnya, saksi ketiga inkues itu berkata "tidak".

Goh berkata pada malam kehilangan William, beliau menghantar dua anaknya yang lain ke Melaka bagi memberi tumpuan untuk mencari William.

"Saya balik ke Melaka sekejap untuk hantar dua anak saya kerana suami risau akan berlaku apa-apa hal kepada dua anak saya yang lain. Selepas hantar, kami terus kembali ke Kuala Lumpur," katanya.

Menjawab soalan Mohd Hezri yang mencadangkan bahawa suami Goh risau terhadap dua anaknya itu dan mempunyai masalah sehingga membuat keputusan untuk menghantar dua anaknya itu ke Melaka ekoran takut berdepan perkara sama (diculik), Goh menafikan dan menyatakan tujuan mereka menghantar kedua-dua anaknya adalah untuk memberi tumpuan mencari William.

Mengenai usaha menjejaki William, wanita berusia 26 tahun itu berkata beliau berusaha mengesannya menerusi litar kamera tertutup (CCTV) di sebuah restoran berdekatan tempat kejadian namun gagal kerana rakamannya rosak.

Prosiding inkues disambung pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain