suria

Donald Lim Bincang Isu Rumah Di Selangor Dengan PM

KUALA LUMPUR: Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim Siang Chai berkata Barisan Nasional akan cuba mengatasi secepat mungkin masalah perumahan di kawasan bervoltan tinggi di Rawang.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata semua masalah yang dikenal pasti akan diselesaikan secepat mungkin dan satu pengumuman mengenainya dijangka dibuat minggu depan.

Katanya isu itu antara yang dibincangkan calon-calon BN di bawah kawasan Parlimen Selayang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat tinjauan mesra ke beberapa kawasan pilihan raya di Selangor pada Isnin.

Lim ialah calon BN bagi kerusi Parlimen Selayang.

Sebelum ini Lim pernah menyuarakan kebimbangan risiko gangguan bekalan elektrik di Selangor kerana penangguhan pemasangan baki kabel voltan tinggi sepanjang 1.5 kilometer di bawah projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) Tenaga Nasional Berhad di Kampung Sungai Terentang, Rawang sejak empat tahun lalu.

Lim dilaporkan sebagai berkata projek itu tertangguh kerana bantahan penduduk kampung dan kerajaan negeri Selangor di bawah PKR gagal menyelesaikannya.

Beberapa buah kampung terlibat dengan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 60 kilometer antara Bukit Tarek di Rawang dan Kampung Chubadak Sentul di bawah projek CAR itu.

Turut serta dalam tinjauan mesra bersama perdana menteri itu ialah calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang Datuk Abdul Shukur Idrus, calon DUN Rawang Lee Li Yew dan calon DUN Taman Templer Datuk Seri Subahan Kamal.

Subahan memberitahu pemberita, rakyat Selangor perlu mengembalikan semula mandat pemerintahan negeri kepada BN untuk memastikan nasib mereka terutama golongan berpendapatan rendah terbela.

"Kita lihat rumah kos rendah tak buat lagi. Dulu masa BN memerintah kita berikan (jual) rumah pada harga RM45,000 tapi hari ini sudah naik sampai tiga kali ganda," katanya.

Beliau berkata peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai sebuah organisasi yang antara lain ditubuhkan untuk membela golongan kurang berkemampuan kini sudah berubah apabila lebih mengutamakan keuntungan semata-mata. - BERNAMA

Artikel Lain