suria

Ditetak Sebab Kes Dadah Bukan Pasal Bendera

KOTA BARU: Seorang lelaki yang mengadu ditetak di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Jumaat lepas didapati bukan kerana dia menghalang premis perniagaannya di pasang bendera parti, tetapi berpunca dari kes pengedaran dadah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata siasatan terhadap dua suspek yang dilaporkan menetak mangsa, mendedahkan perkara tersebut.

"Pihak polis telah menangkap dua suspek tersebut dan merampas pil berwarna merah disyaki dadah, tiub straw berjalur kuning, wang tunai RM7,848 dan sebilah parang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan di sini Isnin.

Beliau berkata pengadu juga disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah, dari hasil maklumat yang diberikan suspek.

"Pengadu buat laporan palsu supaya pihak polis menangkap suspek dan pengadu akan terlepas daripada suspek yang memburunya," jelasnya.

Jalaluddin berkata pengadu akan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Suspek yang menetak mangsa pula disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Sementara itu sebuah pondok parti politik di Kampung Talak, Wakaf Baharu di sini disedari penduduk telah dibakar pada pukul 3 pagi Isnin.

Jalaluddin berkata penduduk menemui sebuah botol yang diisi minyak tanah di tempat kejadian.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain