suria

Calon BN Kota Raja Garis Lima Misi Jamin Kesejateraan Rakyat

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja Datuk S. Murugesan menjanjikan lima misi utama sebagai aspirasi kesejahteraan rakyat di kawasan itu pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Risalah 'Aku Janji Datuk S.Murugesan' yang diedarkan kepada masyarakat setempat, menggariskan aspek keselamatan, banjir, jalan raya, mendirikan lima Klinik 1Malaysia dan tempat asuhan kanak-kanak untuk kebajikan rakyat.

Murugesan, 49, yang juga Setiausaha Agung MIC, berkata beliau akan memberikan tumpuan memastikan misinya itu berjaya dilaksanakan sekiranya dipilih selepas perkara itu gagal diberi perhatian oleh wakil pembangkang.

"Saya berazam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi dan memastikan segala masalah yang dihadapi masyarakat setempat dapat diselesaikan sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Pada PRU12, Kota Raja, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas dan Sri Muda dimenangi Pakatan Rakyat.

Dalam misi pertamanya, Murugesan, seorang peguam dari Klang, akan mengadakan perbincangan dengan polis, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mencegah jenayah terutamanya jenayah ragut di Kota Raja.

"Antaranya ialah meningkatkan infrastruktur keselamatan berintegrasi untuk mencegah jenayah seperti ragut, keselamatan dan bencana, memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas," katanya.

Misi kedua, beliau berikrar akan menyelesaikan masalah sistem perparitan dan longkang di sekitar kawasan Kota Raja, yang menyebabkan berlakunya banjir kilat setiap kali hujan lebat di kawasan itu.

Beliau turut berjanji meningkatkan pengangkutan awam dan jalan raya, dan misi keempat beliau ialah untuk mewujudkan taska-taska berprestasi tinggi bagi menggalakkan kaum wanita untuk kembali bekerja atau melanjutkan pelajaran.

Selain itu, beliau mahu meningkatkan kuantiti Klinik 1Malaysia, tiga di DUN Seri Andalas, dan dua lagi di DUN Sri Muda.

Sebagai menebus kekalahan beliau di Parlimen Subang pada PRU12, bekas Ketua Pemuda MIC Shah Alam itu berkata beliau telah turun padang memberi perkhidmatan di kawasan Kota Raja dan komited mendekati rakyat secara efektif bagi memastikan misi beliau direalisasikan selepas memenangi PRU13. -BERNAMA

Artikel Lain