suria

BN Bakri Lancar Manifesto Tersendiri

MUAR: Barisan Nasional (BN) Bakri pada Isnin melancarkan manifestonya sendiri dalam usaha merampas kerusi Parlimen Bakri daripada DAP selain membawa harapan baru kepada 67,329 pengundi di kawasan tersebut.

Manifesto yang bertajuk Pembaharuan Ke Arah Transformasi dilancarkan dalam Bahasa Malaysia, Cina dan Inggeris oleh calon Parlimen Bakri, Chris Lee Ching Yong di Bangunan Umno Bahagian Bakri, di sini, Isnin.

Menurut Ching Yong yang juga Naib Ketua Pemuda MCA Johor berkata, manifesto itu dirangka untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk Bakri selain penyelesaian kepada isu-isu di kawasan itu yang gagal ditangani DAP.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Bakri itu berkata, selepas lima tahun DAP mewakilinya, ia tidak membawa sebarang perubahan atau pembangunan malah penduduk sudah bosan dengan pembangkang yang tidak berbuat apa-apa untuk hidup yang lebih baik.

"Kita mempunyai lima perkara utama dalam manifesto Bakri iaitu pertamanya membawa agenda transformasi nasional di kawasan Bakri. Perkara kedua ialah meningkatkan suasana bersatu padu, sejahtera, selamat dan bersih.

"Perkara ini penting kerana DAP di Bakri hanya membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat selain mewujudkan jurang perkauman yang luas. Begitu juga kita mahu aspek kebersihan di bandar Muar sebagai Bandar Diraja ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata, penjagaan aspek kebersihan dilakukan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyediakan tong sampah baharu selain menutup tapak pelupusan sampah di Bukit Bakri secara berperingkat-peringkat sehingga 2014.

Perkara ketiga katanya, meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan antara usaha yang kan dilakukan ialaj memohon Klinik 1Malaysia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong kerana tempat itu agak jauh dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

"Permohonan sebanyak RM1.4 juta juga sudah diluluskan kerajaan untuk menaik taraf bilik pembedahan HPSF kerana kemudahan sedia ada sudah tidak dapat menampung keperluan semasa.

"Sementara perkara kelima ialah untuk meningkatkan tahap pendidikan masyarakat terutama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah aliran lain. Kelima ialah meningkatkan pembangunan prasarana asas di kawasan Bakri," katanya.

Ching Yong berkata, pihaknya juga akan memperkenalkan destinasi menarik di Bakri yang terkenal dengan pelancongan ekologi (eko-pelancongan) dengan menawarkan aktiviti dan lawatan ke tempat-tempat yang mempunyai keindahan alam semula jadi.

Tambahnya, manifesto itu membawa sinar baru untuk penduduk Bakri membina masa depan mereka dengan bersatu padu serta berjaya dan sudah sampai masanya perubahan dilakukan dengan menolak DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

Artikel Lain