suria

ATM Sedia Hadapi Sebarang Insiden Pencerobohan Berulang

LAHAD DATU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cubaan susulan kumpulan penceroboh untuk menyusup masuk ke Pantai Timur Sabah.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawalan keselamatan akan terus dipertingkat dengan penumpuan operasi di kawasan perairan sekitar lokasi pencerobohan, khususnya di Felda Sahabat.

"Kita tidak terima apa-apa maklumat berhubung kemasukan semula kumpulan penceroboh terbabit, dan kita turut memantau perkembangan di lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kawalan keselamatan turut dipertingkat, khususnya di kawasan perairan, dengan setiap pergerakan dipantau rapi bagi menghalang sebarang cubaan mereka menyusup masuk ke negeri ini," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas dakwaan terdapat rancangan kumpulan penceroboh untuk menyusup masuk ke negeri ini bagi menimbulkan huru-hara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Difahamkan tindakan itu dikatakan menjurus kepada misi membalas dendam terhadap pasukan keselamatan Malaysia susulan insiden serangan ke atas pengganas bersenjata Sulu, di Kampung Tanduo dan beberapa kampung berhampiran, pada awal Mac lepas.

Sambil menjamin keselamatan di Pantai Timur Sabah berada pada tahap terkawal, terutama menjelang PRU-13, beliau berkata orang ramai, khususnya penduduk setempat, tidak harus berasa khuatir kerana ATM mempunyai pegawai dan anggota yang mencukupi di 'ground zero'.

Zulkifeli turut menafikan khabar angin bahawa ATM mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada penduduk Kampung Tanjung Labian berikutan dakwaan terdapat penceroboh menyusup ke kampung itu pada Isnin.

"Berita ini tidak betul...saya sudah melakukan semakan, dan tiada sebarang amaran dikeluarkan kepada penduduk kampung setakat ini.

"Berdasarkan laporan yang diterima, keselamatan di Kampung Tanjung Labian adalah terkawal, dan penduduk di sana menjalani kehidupan seperti biasa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain