UMNO, DAP Pecat Anggota Bertanding Calon Bebas - Semasa | mStar

UMNO, DAP Pecat Anggota Bertanding Calon Bebas

KUALA LUMPUR: Perasaan tidak puas hati berhubung pemilihan calon melarat hingga ke hari penamaan calon bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada Sabtu, yang mengakibatkan dua anggota Umno serta dua anggota DAP dipecat secara automatik kerana bertanding sebagai calon Bebas.

Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim dan bekas timbalan menteri pertanian Datuk Seri Mohd Shariff Omar mengemukakan kertas pencalonan untuk bertanding sebagai calon Bebas masing-masing bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Tasek Gelugor.

Anggota DAP Sim Tong Him pula mengemukakan kertas pencalonan bagi mempertahan kerusi Parlimen Kota Melaka atas tiket parti itu, tetapi akan bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana kerana DAP meletakkan calon lain di situ.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan komen beliau tentang tindakan anggota parti itu Jenice Lee bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi DUN Teratai di Selangor, pengerusi jawatankuasa disiplin DAP Tan Kok Wai berkata anggota yang berbuat demikian akan terpecat secara automatik.

Di Kelantan, pengerusi BN negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau terkejut kerana calon pilihan BN Che Johan Che Pa, tidak menyerahkan kertas pencalonan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Pasir Mas.

Kata Mustapa beliau tidak dimaklumkan tentang keputusan Che Johan untuk tidak bertanding bagi kerusi itu dan akan merujuk kes berkenaan kepada jawatankuasa disiplin parti.

Terdapat desas-desus bahawa Che Johan berbuat demikian untuk memberi laluan kepada penyandang kerusi itu, yang juga pengerusi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Kamilia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN) dan Khalil Idham Lim Abdullah (PAS).

Bagi kerusi Tasek Gelugor, yang dimenangi Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada PRU 2008, calon BN Shabudin Yahaya akan ditentang calon PAS Datuk Seri Abdul Rahman Maidin dan Mohd Shariff.

Di Kota Melaka, Sim akan berdepan secara satu lawan satu dengan calon BN Dr Yee Kok Wah, manakala bagi kerusi DUN Kota Laksamana, beliau akan ditentang Datuk Chiw Ting Chai (BN) dan Lai Keun Ban (DAP).

Bagi kerusi DUN Teratai, Lee akan berdepan dengan pertandingan lima penjuru yang melibatkan calon BN Ben Liew, calon DAP Tiew Way Keng dan tiga calon Bebas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Ucapan TPM Tergendala Hujan Lebat

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain