suria

Tiga Bekas Pelajar Sekolah Izzuddin Shah, Berbeza Parti Tanding Bawah Satu Parlimen

IPOH: Pilihan raya kali ini bakal menyaksikan tiga rakan sekolah yang berbeza fahaman politik bertanding di bawah Parlimen yang sama bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mereka ialah Asmuni Awi (PAS), Mohamad Ziad Mohamed Zainal (BN) dan Sulaiman Zakariya (Bebas) yang masing-masing menjadi calon bagi dua kerusi negeri di Parlimen Tambun.

Ketiga-tiga mereka merupakan bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.

Asmuni akan berdepan Ziad dalam pertembungan satu lawan satu bagi merebut DUN Manjoi manakala Sulaiman akan bersaing secara tiga penjuru menentang calon BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Hulu Kinta.

Asmuni berkata, walaupun berbeza parti dan fahaman politik beliau menghormati calon-calon lain termasuklah dua rakan yang pernah bersekolah di bumbung yang sama.

"Kami satu sekolah tak bermakna tak boleh bersaing. Saya melihat ini sebagai satu persaingan sihat," katanya kepada mStar Online, pada hari penamaan calon, dekat sini, Sabtu.

Asmuni, 59, berkata, walaupun mengenali kedua-dua calon berkenaan, beliau lebih rapat dengan Ziad, 38 berbanding Sulaiman, 65, yang merupakan pelajar 'senior' di sekolahnya.

Jelasnya, beliau maklum lebih awal bahawa Ziad akan bertanding menentangnya tetapi berbeza dengan Sulaiman yang hanya diketahui akan bertanding pada hari penamaan calon.

"Saya tak tahu beliau akan bertanding di sini sebagai calon Bebas. Saya terpinga-pinga bila nampak beliau di dewan penamaan calon.

"Bila kami bersembang dan nampak borangnya, baru saya tahu beliau juga sah akan bertanding," katanya.

Asmuni berkata, beliau tidak pernah memandang rendah calon-calon lain, apatah lagi rakan sekolahnya walaupun berbeza parti.

"Saya tak pernah pandang rendah terhadap lawan. Saya hormat BN sebagai parti yang telah lama memerintah. Mereka mempunyai jentera yang kemas dan kewangan kukuh," katanya.

Namun, beliau berkata akan menghadapi persaingan dengan segala kekuatan yang ada.

"Dengan suasana rakyat yang mahukan perubahan, saya yakin kami akan menang dalam pilihan raya ini," katanya.

Parlimen Tambun merupakan kubu kuat BN yang telah disandang oleh Menteri Kewangan II Ahmad Husni Hanadzlah sejak empat penggal lalu.

Artikel Lain