suria

Tambun: Terdayakah Srikandi PKR Lawan Menteri?

Ahmad Husni Hanadzlah
Ahmad Husni Hanadzlah
Ahmad Husni Hanadzlah

BORANG sudah diserah. Nama calon sudah disah, maka gelanggang dengan ini secara rasmi dibuka.

Perkasa atau goyah, calon-calon yang diamanahkan untuk berjuang mewakili parti perlu mara ke medan tempur.

Pantang bagi yang bernama pejuang berundur sebelum berjuang. Hidup atau mati biarlah gelanggang pilihan raya yang menentukan.

Dalam mana-mana pilihan raya sekali pun, tentunya calon yang hebat akan ditentang calon yang mungkin tidak hebat, tetapi sekurang-kurangnya ada kekuatannya.

Anwar Ibrahim berhadapan lawannya Dr Mazlan Ismail di Permatang Pauh , Datuk Abdul Ghani Othman disaingi Lim Kit Siang di Gelang Patah, Raja Nong Chik dicabar Nurul Izzah di Lembah Pantai.

Bercakap tentang Nurul Izzah, cukup menarik sebenarnya melihat orang-orang hebat dan popular ini dicabar calon berbeza gender; seperti mana orang kuat Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berdepan penyanyi Aishah di Parlimen Jempol.

Tapi di Jempol itu 'Tan Sri' dicabar penyanyi.

Di Perak pula ada srikandi. Seorang calon srikandi memberi saingan kepada menteri yang bergelar Datuk Seri.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang hebat orangnya dicabar Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail di Parlimen Tambun.

Lumrah orang kita, pantang ada calon bertanding namanya bermula dengan pangkal 'Nur' atau 'Siti', maka ramailah yang tertanya-tanya siapa empunya diri.

Lumrah orang kita lagi kalau sudah kenal nama, terbit pula rasa ingin bersua atau bertemu muka dengannya, maka penuhlah kawasan-kawasan ceramah yang dihadiri Siti Aishah.

Maka dalam hal ini, sebagai calon Siti Aishah seolah-olah sudah mendapat satu bonus kerana namanya ada pangkal 'Siti' dan jantinanya sebagai wanita sejati.

Namun kelebihan itu nampaknya masih tidak mencukupi kerana dari segi politik, malah dari apa-apa segi sekali pun, rekod dan profail beliau memang jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan Ahmad Husni.

Semua orang tahu nama Ahmad Husni dan Tambun sudah sebati, sebati bersama pembangunannya dan keluarga besar penduduk berbilang-kaum di sana.

Di Tambun bukan hanya ada kawasan rekreasi 'The Lost World of Tambun' tapi juga sudah ada pasaraya besar Mydin, ada terminal bas ekspres Amanjaya, ada banyak kawasan perumahan.

Pendek kata, kerusinya di Parlimen kedua terbesar di Perak itu memang cukup selesa.

Jika tidak masakan kerusi berkenaan sudah empat penggal disandangnya.

Ahmad Husni juga bagai mengakui perkara ini apabila berpendapat asas kepimpinan Barisan Nasional (BN) di Tambun sudah dibina begitu lama.

"Kita bukan bertanding semata-mata untuk menang pilihan raya. Kita mahukan kemenangan untuk pembangunan seterusnya, untuk pembangunan lima tahun akan datang.

"Kalau kita lihat pembangunan di kawasan Tambun ia bukan pembangunan yang ditujukan kepada peringkat atasan sebaliknya dituju secara inklusif kepada setiap lapisan Melayu, Cina dan India," kata Ahmad Husni yang ditemui selepas hari penamaan calon di Institut Latihan Perindustrian Ipoh.

Ketika Ahmad Husni dan penyokong-penyokongnya sibuk memperkatakan soal pembangunan, Siti Aishah pula dilihat cenderung berbicara soal perjuangan anak muda, sesuai dengan usia 28 tahunnya.

Imejnya ringkas bersederhana. Sering dilihat berbaju kurung dan bertudung, imej biasa anak muda desa.

Namun, seperti yang disebutkan sebelum ini, pasti ada sebab seseorang calon itu diletakkan untuk mencabar calon mantap seperti Ahmad Husni.

Wanita ini, yang juga calon termuda dalam PKR ini jangan dipandang pada penampilannya sahaja, sebaliknya pandanglah pada kelebihannya, kerana beliau ternyata memilikinya.

Walau tanpa rekod gah atau yang boleh dibanggakan nama beliau kini sudah mula disebut-sebut orang kampung di sekitar Manjoi dan Ulu Kinta.

Mereka bercakap tentang kelantangan wanita ini berbahas, berpidato membidas isu-isu panas serta paling penting ketegasannya dalam bersuara.

Siti Aishah yang tinggi suaranya ketika berhujah di pentas tetap rendah nadanya apabila berbicara di bumi nyata.

"Saya menghormati Datuk Seri Ahmad Husni selaku penyandang. Saya akui kedudukannya sudah selesa tapi saya pasti beliau juga akan melihat pertandingan kali ini sebagai satu cabaran," kata calon yang membesar di Tambun ini.

Siti Aishah yang berkerja sendiri pernah menjadi pembantu media bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Mengakui lawannya bukan calang-calang orang, beliau mahu melihat pertandingan kali ini dari sudut positif.

"Ia akan menjadi satu pertembungan menarik yang menyaksikan persaingan di antara Generasi X dan Generasi Y.

"Sudah tentu saya mempunyai strategi tertentu semasa berkempen tapi yang pasti PKR akan menolak fitnah, serangan peribadi dan akan berkempen secara matang," katanya.

Berbalik kepada Ahmad Husni, beliau cukup tenang apabila bercakap mengenai lawannya yang merupakan calon baru dan berbeza jantina.

"Tak apa...tak apa...Dia bukan bertanding dengan saya, dia bertanding dengan seluruh penduduk Tambun dan dua lagi calon (DUN).

"Inilah cabaran yang dihadapi pembangkang," katanya.

Walau apa jua pandangan mereka, kedua-dua perlu dihormati.

Gelanggang sudah dibuka, hulubalang sudah ditentukan.

Untuk menang, terpulang bagi hulubalang-hulubalang ini mahu menggunakan 'senjata' apa yang dirasakan mampu menumpaskan lawan dan juga untuk menawan hati 86,476 hati pengundi yang ada di Tambun.

Artikel Lain