suria

Rakyat Diminta Guna Hak Mengundi Tolak Pihak Perlekeh Pasukan Keselamatan - Shafie Apdal

SEMPORNA: Rakyat diseru menggunakan hak mereka sebagai pengundi menolak pihak yang memperlekeh usaha pasukan keselamatan negara menangani isu pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah mempertahankan kedaulatan negara merupakan satu pekerjaan mulia malahan insiden pencerobohan itu tidak boleh dikatakan sebagai satu sandiwara.

"Mereka (pembangkang) tidak tahu suasana kawasan contohnya di Lahad Datu. Mereka mudah bercakap tetapi beban anggota keselamatan yang memikulnya amat berat. Jadi gunakan hak selaku pengundi, tolak pihak yang menyatakan ini satu drama dan memperlekehkan usaha pihak keselamatan menjaga kedaulatan negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 25 anggota polis berlainan pangkat yang bertugas menangani insiden kumpulan pengganas Sulu di Semporna Februari lalu.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Sementara itu, Shafie yang juga Naib Presiden Umno dan penyandang kerusi Parlimen Semporna berkata tindakan anggota parti yang mementingkan diri sehingga bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya ini hanya bersifat terpencil.

"Yang berlaku adalah ketidakpuasan hati segelintir saja. Jadi saya berharap kepada semua ahli Umno menolak pimpinan yang mementingkan diri dan meninggalkan perjuangan parti serta negara," katanya mengulas mengenai tindakan Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim bertanding tiket Bebas di Parlimen Kuala Kangsar.

Sementara itu, seorang penerima Pingat Kedaulatan Negara, Koperal Johansah Berahim dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna berkata beliau dan rakan lain tidak menyangka kerajaan menghargai pengorbanan anggota polis meskipun peristiwa itu berlaku dua bulan lepas.

"Apa yang berlaku pada 2 Mac lepas hanya Tuhan yang mengetahui, kami bersyukur dapat selamat keluar daripada kejadian itu," katanya menceritakan peristiwa dikepung hampir 22 jam selepas serangan hendap kumpulan pengganas militan di Kampung Sri Jaya, Simunul, sebuah perkampungan atas air yang mengorbankan enam anggota polis dan enam musuh.

Pingat itu sebagai penghargaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan Sabah diberikan kepada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia.

Pada majlis itu, Shafie turut meninjau 20 motosikal bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotor anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna. - BERNAMA

Artikel Lain