suria

Najib Luang Masa Kunjungi 10 PDM Parlimen Pekan

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad meluangkan masa melawat 10 pusat daerah mengundi (PDM) sekitar Parlimen Pekan.

Perdana menteri melawat PDM di Tanjung Batu, Merchong, Nenasi, Landai dan Sungai Miang pada sebelah petang selepas merasmikan Projek Agropolitan Tanjung Batu, Nenasi dekat sini.

Malam Ahad pula, Najib melawat PDM di Kelat Rendang, Shahbandar, Tanah Putih, Lamir dan Sri Mahkota.

Perdana menteri meluangkan sekurang-kurangnya 15 minit di setiap PDM untuk bertanya khabar penduduk serta menanyakan masalah yang dihadapi mereka.

Petugas-petugas di semua PDM dan penduduk di sekitar PDM yang dikunjungi perdana menteri bersemangat melaungkan ungkapan 'Hidup BN' 'Hidup Najib' 'Menang Barisan' dan '1Malaysia'.

Dalam ucapan ringkas ketika mengunjungi PDM Kelat Rendang, Najib berkata semangat dan komitmen yang diberikan jentera pilihan raya BN akan membawa kemenangan besar kepada calon parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri di Pekan iaitu Peramu Jaya, Bebar, Chini dan Pulau Manis.

"Kita perlu teruskan kerja kuat bagi mempertahankan rekod pada pilihan raya umum 2008 sebagai Parlimen yang catat majoriti tertinggi.

"Jangan fikirkan unsur-unsur tidak sihat atau benda lain, jika bagi tumpuan pada PRU-13 (pilihan raya umum ke-13) ini, Umno akan menang besar dan jadi parti yang kuat," katanya.

Najib turut meluangkan masa kira-kira 10 minit menziarah pemangku Ketua Umno Cawangan Kelat Rendang Puadin Mohd Yazid, 64, yang sakit saraf di kediamannya berhampiran PDM Kelat Rendang. - BERNAMA

Artikel Lain