suria

Beri Mandat Buat Kali Pertama Kepada Najib - TPM

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya memberi mandat buat pertama kali kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan seterusnya melaksana proses transformasi yang dirancang sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini kerana Najib wajar diberi peluang kerana beliau sebelum ini mendapat mandat melalui peralihan kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada PRU-12 yang lalu.

"Ini penting kerana hasrat Perdana Menteri mengajak rakyat beri mandat buat pertama kali kepada beliau selepas 2008. Tun Abdullah Ahmad Badawi memberi peluang kepadanya untuk bentuk kerajaan.

"Kita sudah lihat sejak empat tahun kebelakangan ini (apa yang dilakukan Najib) saya rasa beruntung bekerjasama dengannya, beliau agak istimewa," katanya pada Program Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Peladang Johor di Kampung Tengah, Air Hitam, dekat sini malam Sabtu.

Turut hadir Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (nafas), Datuk Saipolbahri Suib yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning.

Beliau berkata, walaupun BN sudah mencipta sejarah yang gemilang namun pada 2008 ia menghadapi tentangan hebat apabila tidak dapat mempertahankan dua pertiga kerusi selain beberapa negeri turut jatuh kepada pembangkang.

Ia katanya, adalah isyarat kepada BN supaya dapat segera menyelesaikan masalah yang wujud dan memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum ini.

"Banyak kita beri semuanya mendapat faedah kerana dasar kita yang adil dan saksama. Saya lihat gelombang kebangkitan baharu untuk rakyat kembali menyokong BN. Ini adalah anjakan besar ke arah transformasi.

"Ini tidak memadai dan perlu anjak cara luar biasa. Kerajaan kini sudah mengenal pasti 12 bidang utama untuk memacu ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain," katanya.

Artikel Lain