suria

Tanding Bebas: Jenice Lee Dipecat Daripada DAP

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Jenice Lee telah dipecat daripada DAP.

Keputusan tersebut diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin DAP, Tan Kok Wai di Cheras.

Tan berkata parti itu tidak mempunyai pilihan sebaliknya terpaksa memecat beliau kerana bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Dia mempunyai masa 14 hari untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang diputuskan oleh Lembaga Disiplin," katanya.

Sementara itu, Lee melahirkan rasa kecewanya berhubung pemecatannya selepas Pegawai Pengurus Abdul Hamid Hussein mengumumkan tamatnya tempoh menyerahkan borang pencalonan pada pukul 10.02 pagi di Dewan MPAJ di Pandan Indah.

Beliau berkata Lembaga Disiplin DAP yang dipilih oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) tidak mempunyai hak untuk mengambil tindakan berkenaan kerana mereka sedang disiasat oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Lembaga Disiplin tidak mempunyai kuasa untuk memecat saya pada masa ini," katanya.

Lee turut mempersoalkan keputusan parti meletakkan muka baru, Tiew Way Keng sebagai calon DAP DUN Teratai.

Beliau berkata keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas dibuat selepas mendapat sokongan penduduk dan DAP cawangan Pandan.

Lee berkata keputusannya bertanding sebagai calon Bebas adalah untuk memastikan kemenangan DAP dikerusi berkenaan.

"Saya sangat setia kepada DAP, jika saya menang kerusi DUN Teratai, ia merupakan kemenangan kepada parti.

"Terpulang kepada parti sama ada untuk menerima saya sebagai ahli DAP atau tidak," katanya.

Artikel Lain