suria

PRU-13 Tidak Perlu Campur Tangan Pihak Luar - Muhyiddin

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pihak luar tidak perlu mencampuri urusan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13(PRU-13) kerana negara mengamalkan sistem yang telus.

Beliau berkata, tiada maklumat yang tepat tentang perkara itu biarpun terdapat dakwaan ada campur tangan negara luar dalam kempen yang dilakukan pihak pembangkang.

“Ini berkaitan dengan risikan dalam negara dan mungkin Kementerian Pertahanan ada maklumat tentang perkara tersebut.

“Kita terima kenyataan bahawa Singapura tidak mencampuri urusan PRU seperti mana dakwaan sebelum ini, lagipun hubungan Malaysia dan Singapura amat baik jadi tidak ada elemen untuk campurtangan dalam PRU di negara ini,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Melawat Pusat Daerah Mengundi di Sungai Terap di sini, pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah menjemput pemerhati luar dari negara Asean dan juga melantik pemerhati dalam negara untuk memantau sepanjang perjalanan proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang berlangsung pada 5 Mei ini.

“Kita hendak beri peluang kepada rakyat buat keputusan, jangan kacau atau timbulkan sesuatu perkara yang boleh menganggu proses demokrasi dalam negara,”katanya.

Ketika ditanya mengenai pemilihan Timbalan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Zulkifli Nordin sebagai calon bertanding kerusi Parlimen Shah Alam dalam PRU13 Muhyiddin berkata, beliau sudah membaca kenyataan itu dan permohonan maaf Zulkifli.

“Beliau (Zulkifli) sudah mengakui kesilapan dan meminta maaf, jadi kita harus terima permohonan maaf itu secara ikhlas dan baik.

“Zulkifli seorang ahli politik yg matang, berani bersuara, mungkin ada pihak yang tidak senang hati dengannya iaitu pembangkang yang hendak bertanding di Shah Alam,”katanya.

Jelasnya, itu perkara biasa dalam setiap pilihan raya dan jika pengundi memilih Zulkifli sebagai calon terbaik, itu hak mereka dan hormati keputusan tersebut.

Sebelum ini, pemimpin MIC dan pemimpin pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India dan agama Hindu (termasuk Malaysia Hindu Sangam) tampil mengecam Zulkifli yang mempersenda dan menghina kaum India dan agama Hindu.

Artikel Lain