suria

Pengerusi BN P. Pinang Hadapi Saingan Tiga Penjuru

BUKIT MERTAJAM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pulau Pinang Teng Chang Yeow menghadapi pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Bukit Tengah pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Teng akan berdepan calon PKR Ong Chin Wen dan seorang calon Bebas A.Mohan. Pengesahan pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Husain Merican Hassan di Dewan Sekolah Menengah Teknik Seberang Perai pada Sabtu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Teng berkata penyertaan ramai calon bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini membuktikan amalan demokrasi di negara ini diterima semua pihak.

Setiap individu berhak untuk bertanding dan ia adalah perkara biasa pada setiap kali tibanya PRU.

"Ini biasa dan pertandingan ini adalah secara sihat, ia adalah hak setiap individu dan inilah yang dinamakan demokrasi," katanya.

Teng, 49, pernah mengalahkan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh di DUN Padang Kota pada PRU 1995 dengan majoriti 2,500 undi dan pernah memenangi kawasan itu tiga penggal berturut-turut sebelum kalah kepada Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow pada PRU 2008.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi BN Negeri pada April 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon melepaskan jawatan itu.

Ong, seorang peguam merupakan penyandang bagi kerusi DUN Bukit Tengah dan pada PRU 2008 beliau menewaskan Ng Siew Lai dari BN dengan majoriti 1,904 undi.

Mohan pula adalah bekas anggota parti Gerakan dan bekas penyelaras parlimen Batu Kawan yang bertanding atas tiket bebas setelah kecewa namanya tidak tersenarai sebagai calon parti itu. -BERNAMA

Artikel Lain