suria

Khaled Nordin Serah Kertas Pencalonan Tanding DUN Permas

PASIR GUDANG: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengemukakan kertas pencalonan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dengan diiringi lebih 500 penyokong Barisan Nasional (BN) tepat pada pukul 9 pagi Sabtu.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi BN Pasir Gudang tiba di Stadium Tertutup Pasir Gudang serentak bersama dua lagi calon BN iaitu Normala Abdul Samad yang bertanding mengantikan tempatnya di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan calon BN untuk DUN Johor Jaya, Tan Cher Puk dari MCA.

Seperti calon-calon BN yang lain, Mohamed Khaled memakai baju Melayu warna biru dan berarak bersama penyokong-penyokong BN dari Menara Aqabah kira-kira 500 meter dari tempat pencalonan.

Sebelum ini pada pilihan raya umum 2008, Mohamed Khaled bertanding di kawasan Parlimen Pasir Gudang dan memenanginya dengan majoriti 17,281 menewaskan calon PKR Md Rizan Mohd Saman. -BERNAMA

Artikel Lain