suria

Kejutan DAP Di Kedah

ALOR SETAR: Gara-gara lantang membantah keputusan DAP Pusat, Setiausaha Publisiti DAP Kedah, Dr Lim Sin Keat akhirya 'berputih mata' apabila tidak diberikan watikah sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman.

Sebaliknya DAP menamakan Pengerusi Dapsy Kedah, Teoh Boon Kok sebagai calon di DUN berkenaan.

Dr Lim sebelum ini dilaporkan menerima arahan daripada DAP Pusat supaya bertanding di DUN Kota Darul Aman.

Bagaimanapun tawaran itu ditolaknya sebagai bantahan kerana kepimpinan pusat menggugurkan Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik daripada bertanding mempertahankan kerusi DUN Kota Darul Aman yang dimenanginya pada 2008.

Teoh bakal berhadapan dengan tiga lagi lawannya iaitu Loh Gim Hui daripada Barisan Nasional (BN), A. Jayagopal (Bebas) dan Liew Kard Seong.

Sementara itu DAP turut membuat perubahan pada saat akhir apabila menamakan calon muka baru iaiatu Tan Kok Yew bertanding di DUN Derga yang sepatutnya ditandingi Teoh.

DUN Derga menyaksikan saingan tiga penjuru apabila Dr Cheah Soon Hai daripada BN dan Abdul Fisol Mohd Isa turut diumumkan sah bertanding.

Sebelum ini dilaporkan DAP menghadapi krisis dalaman apabila kepimpinan negeri tidak bersetuju dengan keputusan berhubung pemilihan calon oleh DAP Pusat.

Artikel Lain