suria

Datang Bersendirian: Maniarasu Tidak Diterima Jadi Calon Bukit Bintang

KUALA LUMPUR: Hasrat K. Maniarasu untuk menjadi calon kerusi Parlimen Bukit Bintang pada pilihan raya umum 5 Mei ini tidak kesampaian apabila permohonannya ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini kerana Maniarasu, 52, yang mendakwa bekerja sebagai pengumpul data, gagal membawa pencadang dan penyokong serta tidak membawa wang deposit.

Beliau datang seorang diri ke pusat penamaan calon Parlimen Bukit Bintang hari ini untuk menjadi calon pada PRU ini.

Gelagat beliau yang berkemeja t kuning dan berseluar kuning air masuk bersendirian ke Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria Jalan Hang Tuah pada jam 9.15 pagi menarik perhatian media dan petugas SPR di situ.

Sebelum itu, calon BN Frankie Gan Joon Zin dan calon DAP Fong Kui Lun telah menyerahkan borang pencalonan mereka. Maniarasu diminta melengkapkan borang pencalonan terlebih dahulu tetapi apabila menyerahkan borang berkenaan kepada Pengurus Pilihan raya Parlimen Bukit Bintang Abdul Samad Lope Pihie pada jam 9.55 pagi, permohonannya telah ditolak. Ketika ditemui pemberita, Maniarasu berkata dia tidak diberitahu oleh mana-mana pihak tentang syarat-syarat menjadi calon. "Saya juga boleh memanggil pencadang dan penyokong tetapi masa yang diberi selama sejam adalah terlalu singkat. "Kami wajar diberi masa 10 jam," katanya.

Katanya lagi beliau juga gagal menyediakan wang deposit pilihan raya dan deposit kempen sebanyak RM15,000 kerana gagal mendapat pinjaman bank.

Beliau kemudian berlalu meninggalkan pusat tersebut.

Abdul Samad kemudian mengumumkan pertembungan satu lawan satu antara Frankie dan Fong pada pilihan raya kali ini.

Abdul Samad mengumumkan Frankie menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.05 pagi dan diikuti Fong, dua minit kemudian. -BERNAMA

Artikel Lain