suria

Chee Heung Dicabar Calon PKR, Berjasa & Bersama

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung
 Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung

ALOR SETAR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung akan menghadapi pertandingan empat penjuru dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Alor Setar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Selain Chor, turut diumum bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar ialah Gooi Hsiao Leung daripada PKR, Abdul Fisol Mohd Isa (Berjasa) dan Jawahar Raja Abdul Wahid daripada Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama).

Chor adalah calon pertama menyerahkan borang penamaan pada 9.05 pagi diikuti Goh pada 9.15 pagi, Abdul Fisol 9.20 pagi dan Jawahar Raja 9.35 pagi.

Pengumuman dibuat oleh Pengurus Pilihan Raya Parlimen Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad.

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Alor Setar turut menyaksikan lebih dua calon bertanding. Bagi DUN Bakar Bata Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang akan mempertahankan kerusi itu untuk kali kelima akan ditentang Jawahar Raja dan calon PKR Mohd Ikmal Ahmad.

DUN Kota Darul Aman pula melibatkan pertembungan antara calon BN Loh Gim Hui dan calon DAP Teoh Boon Kok serta dua calon Bebas iaitu Liew Kard Seong dan A. Jayagopal.

Di DUN Alor Mengkudu, bekas exco kerajaan negeri sewaktu Kedah di bawah B NFadzil Hanafi muncul sebagai calon Bebas untuk menentang calon PAS Ahmad Yahaya dan calon BN Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah (BN).

Chor berkata beliau sudah bersedia untuk menghadapi pertandingan yang melibatkan ramai calon ini dan sudah mempersiapkan perancangan untuk kempen dan ceramah nanti.

"Dalam memastikan kemenangan berpihak kepada kami, petugas-petugas perlu bekerja keras dan bergerak aktif di bilik gerakan untuk memastikan kemenangan di Alor Setar," katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata persiapan untuk memastikan pengundi di Bakar Bata menyokong BN berada pada tahap yang baik.

"Jentera parti peringkat negeri sekarang sudah bersedia, sudah lama kita sudah bersedia, kita yakin menang kali ini. Mulai hari ini, tugas penyokong-penyokong dan petugas-petugas sudah bermula," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain