suria

Penyokong DAP Pertikai Pembahagian Kerusi, Salahkan Nga, Ngeh Jika PR Kalah Di Perak

Antara ahli-ahli DAP yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap nama calon-calon yang bakal bertanding pada PRU-13 di Perak. - FotoBERNAMA
Antara ahli-ahli DAP yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap nama calon-calon yang bakal bertanding pada PRU-13 di Perak. -  FotoBERNAMA
Antara ahli-ahli DAP yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap nama calon-calon yang bakal bertanding pada PRU-13 di Perak. - FotoBERNAMA

IPOH: Tidak sampai sehari menjelang hari penamaan calon, penyokong-penyokong Pakatan Rakyat, terutama penyokong DAP di Perak memprotes menyatakan rasa tidak puas hati mereka berhubung penetapan calon dan pembahagian kerusi di negeri ini.

Rasa tidak puas hati ini ditunjukkan dengan berkumpul di hadapan pejabat DAP negeri dengan harapan pimpinan tertinggi parti dapat melakukan sesuatu supaya suara dan kehendak mereka didengari.

Ahli DAP seumur hidup, G. Visvanathan yang mewakili beberapa penyokong lain yang tidak gembira dengan keputusan parti mendakwa apa yang diputuskan majlis pimpinan parti negeri sebagai tamak dan bersifat perkauman.

"Kami penyokong DAP tidak gembira dengan pembahagian kerusi DUN dan Parlimen di Perak. Nampak seperti DAP sebuah parti rasis.

"Kami sangat kecewa dengan keputusan ini dan berharap mereka mengubahnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan pejabat DAP negeri, dekat sini, Jumaat.

Visvanathan berkata berlaku ketidakadilan apabila kerusi Malim Nawar yang dulunya disandang oleh Keshvinder Singh kini diberikan kepada calon lain yang bukan berbangsa India.

Keshvinder adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang mengumumkan keluar parti pada 2010 kerana kecewa dengan corak pimpinan PR.

Katanya, pada pilihan raya umum lalu calon India diletakkan di enam kerusi iaitu di Ipoh Barat, Teluk Intan, Buntong, Tronoh, Sungkai dan Malim Nawar.

"Kali ini kenapa hanya lima (kerusi)? Kulasegaran di Ipoh Barat, Sivakumar di Batu Gajah, Sivasubramaniam di Buntong, Sivanesan di Sungkai dan Terence Naidu di Pasir Berdamar," katanya.

Jelas beliau apa yang diputuskan ini tidak sepadan dengan sokongan yang telah diberikan masyarakat India terhadap DAP dan PR.

"Kaum India sekarang, terutama di Perak sangat sokong DAP tapi dikurangkan kerusi.

"Ada ramai calon yang mampu dan layak seperti Dr Jeyabalan yang berkerja keras tetapi tiada kerusi untuk beliau," ujarnya.

Menurut beliau, masalah juga timbul apabila Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham bertanding di dua kawasan; Nga di Parlimen Taiping dan DUN Kepayang manakala Ngeh di Parlimen Beruas dan DUN Sitiawan.

Beliau berkata, penyokong-penyokong DAP akan menyalahkan Nga dan Ngeh jika PR kalah di Perak.

"Jika Pakatan kalah di Perak Nga dan Ngeh perlu dipersalahkan. Seorang ahli perlu dapat satu kerusi sahaja seperti yang disuarakan pemimpin Karpal Singh...kenapa dapat dua kerusi seperti adik-beradik Nga dan Ngeh," katanya.

Beliau berkata, masih belum terlambat untuk pimpinan parti mengubah keputusan walaupun hari penamaan calon tinggal tidak sampai satu hari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain