suria

Penduduk Felda Sahabat Yakin Calon BN Boleh Kembalikan Pembangunan

LAHAD DATU: Penduduk gugusan Felda Sahabat, yang terjejas berikutan serangan pengganas Sulu pada Mac lepas, yakin Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh kemenangan besar di kerusi Parlimen Silam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku pada pilihan raya umum ke-13.

Penduduk khususnya di Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu percaya calon-calon BN boleh mengembalikan keamanan dan pembangunan di kampung mereka yang musnah teruk akibat serangan penceroboh dari Selatan Filipina itu.

Calon BN bagi DUN Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said akan mempertahankan kerusi itu manakala penyandang kerusi DUN Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Mansur bertukar ke Parlimen Silam.

Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmod Mallang, 72, berkata penduduk kampung itu telah berikrar untuk menyatakan sokongan kepada BN yang terbukti sentiasa menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat.

"Tidak mungkin penduduk kampung di sini akan lupa dengan semua jasa dan sumbangan kerajaan kepada kami. Kami telah berikrar untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) diteruskan," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kerajaan BN sebelum ini telah banyak membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka, dengan pemberian enjin bot secara percuma kepada nelayan dan kemudahan asas yang lain kepada penduduk kampung.

Tinjauan Bernama di kampung berkenaan mendapati rumah yang mengalami kerosakan kecil seperti kerosakan dinding dan atap akibat serangan penceroboh sudah mula dibaiki oleh kontraktor yang dibayar kerajaan sejak lima hari lepas.

Sementara itu, penduduk kampung Tanjung Labian, Arip Abdul Talib, 54, berkata beliau menyokong calon BN itu kerana mahu Najib terus mentadbir negara.

Sambil menyatakan keyakinannya yang BN mampu menang selesa di kawasan itu, beliau berharap calon parti itu boleh memahami keperluan rakyat dan membawa perubahan yang lebih baik kepada penduduk kampung.

Menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 671 pengundi yang terdiri daripada penduduk Kampung Tanjung Labian, Sungai Merah dan Lok Sambuang mendaftar untuk mengundi di Sekolah Tanjung Labian.

Sementara itu, Rahim Abd Latif, 29, berkata beliau yakin BN boleh mendapat kemenangan besar di kawasan itu kerana parti itu disayangi penduduk kampung.

"BN masuk kampung pedalaman bantu rakyat, pembangkang ini pula masuk hanya tabur janji dan buruk-burukkan kerajaan...tengoklah nanti kempen baru nampak mereka (pembangkang)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain