suria

Keluarga Kecewa Manoharan Tidak Dicalonkan Semula

KLANG: Keluarga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan menyatakan kekecewaan terhadap kepimpinan DAP Selangor yang menggugurkan nama beliau daripada senarai calon parti itu pada pilihan raya umum ke-13.

Anak perempuan Manoharan, Shivaranjini berkata keengganan DAP membenarkan bapanya mempertahankan kerusinya itu mengecewakan adik-beradik dan ibunya.

"DAP telah menggunakan ayah saya pada pilihan raya lepas dan kini tidak memberi peluang kepadanya untuk mempertahankan kerusi Kota Alam Shah yang dimenanginya pada pilihan raya lepas," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Manoharan, bekas tahanan ISA daripada DAP, mengalahkan Ching Su Chen dari Gerakan untuk memenangi kerusi Kota Alam Shah dengan majoriti 7,184 undi pada pilihan raya umum 2008.

Sementara itu, isteri Manoharan, S. Pushpaneela, 52, ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa dia akan bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Kota Alam Shah kerana beliau telah banyak berusaha untuk memenangi kerusi berkenaan bagi suaminya semasa pilihan raya 2008 apabila suaminya ditahan di bawah ISA.

"Saya boleh memberi saingan yang sengit terhadap V. Ganabathirao dari DAP," kata Pushpaneela yang juga pengerusi DAP cawangan Ehsan di Klang.

Pushpaneela berkata beliau layak menjadi calon kerana telah membantu suaminya berkhidmat kepada pengundi dan mahu terus berkhidmat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz daripada parti PPP akan berdepan Ganabathirao dari DAP untuk bertanding kerusi Kota Alam Shah pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain