suria

Jamaluddin Sah Tidak Bertanding, Isytihar Akan Terus Bersama BN

Jamaluddin Mohd Radzi
Jamaluddin Mohd Radzi
Jamaluddin Mohd Radzi

IPOH: Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang Jamaluddin Mohd Radzi mengesahkan tidak bertanding pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata dengan keputusan yang telah dimuktamadkan, beliau berharap ia tidak menimbulkan fitnah terutama daripada pihak pembangkang.

"Jangan ada mana-mana suara yang kata saya berkecil hati sebab sahabat saya sudah kena (fitnah) macam tu," katanya pada sidang media di sebuah hotel dekat sini, Jumaat.

Beliau merujuk kepada penyandang DUN Malim Nawar Keshvinder Singh (DAP) yang turut dikatakan berkecil hati oleh pembangkang kerana tidak terpilih bertanding mewakili BN.

Jamaluddin (PKR) dan Keshvinder mengumumkan keluar parti pada awal 2009 dan menjadi Adun Bebas yang menyokong BN.

Jamaluddin berkata beliau dan Kasvinder tidak berminat untuk bertanding dan akur dengan keputusan Barisan Nasional (BN) yang tidak memilih mereka.

Namun begitu, beliau berjanji untuk terus memberi sokongan kepada BN dan yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya isytiharkan saya sentiasa bersama BN. Saya sayang BN," tegasnya.

Sambil mahu menjadi contoh kepada ahli BN lain dan parti-parti komponen, Jamaluddin juga memberi penekanan terutama kepada pembangkang supaya tidak membuat spekulasi dan tuduhan.

"Kami mahu menjadi contoh kepada bekas-bekas Adun yang tak terpilih. Kalau kami yang Bebas boleh terima keputusan bagaimana ahli parti komponen tidak boleh terima keputusan.

"Saya nak beritahu pembangkang jangan tuduh kami kata BN tak terima kami...BN aniaya kami...BN zalimi kami. Tidak...tidak...pemimpin terutama perdana menteri kita cukup baik," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan beliau sebelum ini yang nekad mempertahankan kerusi Behrang sebagai calon Bebas walaupun bukan di atas tiket BN beliau berkata telah berfikir dan membuat pertimbangan.

"Kita ni orang politik, kadang-kadang takkan kerana seekor nyamuk kita nak bakar rumah.

"Tak sakit pun kita kalau digigit seekor nyamuk. Jangan kerana nyamuk kita bakar rumah," katanya lagi.

Jamaluddin sebelum ini telah mendapatkan borang untuk bertanding, sama ada sebagai calon Bebas atau mewakili BN jika dipersetujui pucuk pimpinan parti.

Beliau turut menyatakan keyakinan mampu menambat hati pengundi sama ada bertanding secara dua atau tiga penjuru.

BN mengumumkan Datuk Rosnah Kassim akan bertanding di Behrang mewakili parti sekali gus menunjukkan Jamaluddin tidak terpilih.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain