suria

Wujud Campur Tangan Dari Negara Luar Dalam Politik Negara - Zahid Hamidi

JOHOR BAHARU: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat unsur campur tangan dari negara luar untuk menggagalkan pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Tanpa menyebut sebarang nama, Zahid berkata pihak berkenaan didapati cukup berazam memastikan pembangkang di Johor menang dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan dilangsungkan pada 5 Mei nanti.

"Sehubungan itu, amat penting kita pastikan kemenangan dengan majoriti dua pertiga untuk buktikan kita menolak campur tangan asing terhadap politik Johor dan Malaysia.

"Sebab negara ini adalah acuan kita, dan kita sama sekali tidak mahu campur tangan asing dalam politik negara ini," katanya ketika berucap semasa pertemuan dengan jentera BN Parlimen Kulai di sini, Khamis.

Katanya pembangkang kini mula tertumpu ke Johor kerana ingin menjadikannya sebagai tapak baharu untuk memperluaskan kuasa mereka dengan meletakkan pemimpin besar mereka.

Ahmad Zahid berkata ia juga antara usaha pembangkang yang mahu melihat 'hang government' sekiranya mereka tidak mampu menumbangkan kerajaan BN di peringkat nasional supaya kerajaan tidak boleh dibentuk.

Menurutnya jika kerajaan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga, ia akan menyukarkan kerajaan untuk membuat sebarang keputusan dalam pentadbiran negara.

"Kalau tidak dapat dua pertiga bagaimana nak tadbir negara. Kita tidak dapat pinda perlembagaan negara, kena berunding (dengan pembangkang) yang tentu melibatkan pelbagai syarat," katanya.

Dalam sidang media di majlis berasingan, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana indidividu dari luar yang cuba mencampuri urusan politik negara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Konsul Besar Singapura di Johor Bahru semalam bahawa kereta berdaftar Singapura yang memasuki Johor dengan memasang logo menyokong kempen sebuah parti politik di Malaysia merupakan tindakan individu yang kewarganegaraan mereka tidak jelas.

Sementara itu, beliau mengingatkan mana-mana calon BN yang menang dalam PRU13 nanti supaya tidak angkuh dan sombong selepas ini kerana kemenangan mereka bukan disebabkan faktor individu tetapi faktor parti. "Saya ingin ingatkan, calon hanyalah lambang parti, kalau menang jangan berlagak, kemenangan bukan disebabkan anda hebat, tetapi jentera hebat," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain