suria

Subramaniam Yakin Pengundi Segamat Tahu Siapa Terbaik

SEGAMAT: Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang mempertahankan kerusi Parlimen Segamat yakin pengundi di kawasan itu tahu siapa yang lebih baik dalam memperjuangkan kepentingan mereka.

"Siapa pun boleh datang, kita bukan orang baru, kita sudah sembilan tahun dengan masyarakat di sini. Masyarakat sudah tahu (apa yang kita lakukan untuk mereka)," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Justeru kata Dr Subramaniam, beliau tidak gentar menghadapi Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Datuk Chua Jui Meng pada pilihan raya umum kali ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Subramaniam mengalahkan calon DAP Pang Hok Liong dengan kelebihan 2,991 undi.

Beliau yang ditemui selepas melawat 46 peniaga kecil di Kampung Abdullah di sini yang terjejas banjir tahun lalu, berkata sepanjang dua penggal berkhidmat di Segamat, pelbagai pembaharuan dan pembangunan dilakukannya menerusi peruntukan kerajaan Barisan Nasional.

Katanya beliau juga tidak mempunyai masalah bergaul dengan masyarakat di situ yang majoritinya kaum Cina.

"Kalau dalam 200 orang, seorang saja yang dakwa tidak kenal (saya) kerana kononnya tidak pernah jumpa, mungkin dia bukan orang tempatan. Tapi keseluruhannya rombongan kami dapat sambutan baik," katanya.

Kawasan itu mempunyai 47,115 pengundi dengan 21,502 atau 45.64 peratus daripada kaum Cina, Melayu (20,921 atau 44.4 peratus) dan India (4,629 atau 9.96 peratus). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain