suria

Siasatan Dapati Kematian 14 Gajah Pigmi Kerana Keracunan Toksin

KOTA KINABALU: Ujian awal mendapati kematian 14 gajah pigmi Borneo di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau awal tahun ini berpunca daripada keracunan toksin, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Dr Laurentius Ambu.

Katanya ujian itu bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti jenis toksin.

"Kita juga masih belum mengetahui sama ada toksin itu sengaja diberi kepada gajah terbabit atau haiwan berkenaan termakan," katanya pada sidang media, di sini, Khamis.

Menurut Dr Laurentius, sampel daripada bangkai gajah terbabit dihantar ke pelbagai institusi tempatan dan juga ke Universiti Mahidol serta Pusat Racun Ramathibodi di Thailand dan ke Makmal Sains Biokeselamatan Queensland di Australia.

"Makmal di Australia masih mengkaji sampel yang dihantar," katanya menambah sampel dihantar ke Thailand dan Australia masing-masing pada 6 dan 13 Mac lepas. Katanya jabatan itu membelanjakan kira-kira RM500,000 setakat ini dan memerlukan lebih banyak dana bagi menyiasat insiden berkenaan.

Selain itu katanya, pada masa ini jabatan berkenaan bekerjasama dengan danau Girang Field Centre dan WWW-Malaysia bagi memasang kolar pengesan kepada kira-kira 30 ekor gajah bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pemuliharaan haiwan berkenaan, khususnya di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara.

Mengenai anak gajah yang ditemui bersama bangkai gajah dewasa terbabit, beliau berkata haiwan yang dinamakan 'Kejora' itu berada dalam keadaan baik di bawah jagaan staf di Taman Hidupan Liar Lok Kawi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain