suria

Ramai Calon Bebas Dijangka Bertanding di Selangor, BN Yakin Dapat Sokong

TANJONG KARANG: Ramai calon Bebas dijangka bertanding di Selangor dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini ekoran dikatakan wujud rasa tidak puas hati mengenai pemilihan calon, namun Barisan Nasional (BN) yakin pengundi akan menyokong parti itu.

Antara kawasan disebut-sebut akan ditandingi calon Bebas ialah empat kawasan Parlimen iaitu Kuala Selangor, Kapar, Shah Alam dan Sepang, dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Sementa dan Sri Andalas.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata pengundi sekarang bijaksana dan mereka akan memilih parti yang mampu menunaikan janji pilihan raya dan bukan sekadar hanya untuk memilih seorang wakil rakyat.

"Pengundi kini sudah boleh menilai dan saya sendiri yakin berdasarkan maklum balas, rakyat di Selangor telah bersedia untuk kembali kepada BN," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon PRU13 Tanjong Karang di sini, Khamis.

Noh yang juga penyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang berkata pemimpin yang setia dan tidak pentingkan diri sepatutnya patuh pada keputusan pucuk pimpinan.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak yang berhasrat bertanding sebagai calon Bebas pada PRU13 di Selangor.

Terdahulu, Noh berkata terdapat 10,000 anggota jentera BN dan 33 pusat daerah mengundi di kawasan Tanjong Karang. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain