suria

Polis Tahan 3 Lelaki di Selangor & Kedah Kerana Kes Ugut Dan Cedera

KUALA LUMPUR: Polis semalam menahan tiga lelaki, satu di Selangor dan dua di Kedah kerana terlibat dengan kes ugut dan mencederakan dengan sengaja semasa musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata polis menahan seorang lelaki di Semenyih, Selangor dan seorang lagi di Kota Setar, Kedah kerana dituduh mengugut.

Sementara seorang lagi ditahan di Yan, Kedah kerana didakwa menyebabkan kecederaan dengan sengaja, katanya pada taklimat PRU13 kepada media di Bukit Aman di sini Khamis.

Ramli berkata berkata kedua-dua lelaki yang ditahan kerana mengugut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, sementara seorang lagi yang ditahan Kedah disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai ketiga-tiga kes.

Ramli berkata sejak pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April sehingga semalam, polis menerima 787 laporan melibatkan isu-isu berkaitan pilihan raya di seluruh negara, termasuk 63 laporan yang diterima semalam.

Beliau turut mengingatkan orang ramai, terutama generasi muda, bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang didapati sengaja menyebarkan maklumat palsu, terutama melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), yang menggugat ketenteraman awam.

"Golongan muda diingatkan berfikir rasional tentang implikasi perbuatan mereka sebelum menyebarkan SMS berkenaan, kerana ia akan menimbulkan keadaan yang tidak diingini," tegasnya.

Beliau berkata mereka yang menghantar SMS palsu boleh diambil tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain