suria

Nik Aziz Tidak Anggap Pencalonan Anaknya di Parlimen Pasir Mas Sebagai Proksinya

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menganggap pencalonan anaknya, Nik Abduh, untuk bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum 5 Mei depan sebagai 'proksi' mewakilinya sebagai pemimpin tertinggi PAS.

Jelas beliau semua calon PAS adalah mewakili parti itu, bukan mewakili pemimpin tertentu.

Menurutnya beliau tidak memberi petunjuk kepada pimpinan PAS supaya memilih anaknya itu bertanding di mana-mana kawasan pilihan raya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran kutipan derma bagi membina masjid Al-Ihsan di kawasan Perumahan Taman Maju di sini Khamis.

Nik Abduh dijangka ditentang calon bebas Datuk Ibrahim Ali dan calon Barisan Nasional (BN) Che Johan Che Pa.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata secara kebetulan, anaknya itu memang sudah lama berminat dalam politik dan sedia untuk bertanding.

"Beliau juga sudah lama bergiat cergas dalam politik dan menjadi Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain