suria

Lajim, Bumburing Pertahan Kerusi Parlimen Beaufort & Tuaran

Datuk Lajim Ukin
 Datuk Lajim Ukin
Datuk Lajim Ukin

PETALING JAYA: Presiden Pakatan Perubahan Sabah (PPS)Datuk Seri Lajim Ukin akan mempertahan kerusi Parlimen Beaufort, Sabah yang dimenangi beliau pada pilihan raya 2008 dan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Presiden Angkatan Perubahan Sabah (SRF) dan penyandang Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing juga akan mempertahan kerusi itu, yang dimenangi beliau pada 2008 dan bertanding di DUN Tamparuli.

Keputusan itu diumumkan mereka pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini Rabu, yang turut dihadiri Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Lajim berkata selain Beaufort, PPS yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO), akan bertanding atas tiket PKR bagi kerusi Parlimen Papar, Kimanis dan Sipitang serta 11 DUN.

Bumburing pula berkata SRF akan bertanding di Parlimen Tenom, Beluran, Kota Marudu dan Pensiangan serta 12 DUN, juga menggunakan tiket PKR.

Pada pilihan raya 2008, Lajim dan Bumburing yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) masing-masing menewaskan Lajim Md Yusof daripada PKR dengan majoriti 10,914 undi dan Ajin @ Nazin Gagah (BEBAS) serta Umsery @ Asari Abdullah dari PKR dengan majoriti 6,622 undi.

Pada 28 Julai tahun lepas, Lajim yang merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, melepaskan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno bahagian serta Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta dan menubuhkan PPS.

Sehari kemudian, Bumburing yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar parti dan menubuhkan SRF.

Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain