suria

Jentera BN Parlimen Bakri Sedia Gempur Parti Lawan

MUAR: Lebih 6,000 jentera Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bakri di sini akan menggempur parti lawan terutama DAP dalam memastikan BN dapat menawan kembali kawasan berkenaan.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Datuk Saipolbahari Shuib, berkata semua 32 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Parlimen Bakri sudah bersedia terutama untuk menyerang kubu dikuasai pembangkang iaitu pada peringkat Parlimen serta DUN Bentayan dan Sungai Abong.

Ia juga kata beliau, menangkis dakwaan bahawa wujudnya keretakan di kalangan PDM kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan calon yang memperlihatkan dua wakil MCA serta seorang daripada Umno dicalonkan di tiga kawasan berkenaan.

"Kali ini (Parlimen) Bakri mempunyai dua calon MCA yang akan bertanding di Parlimen serta DUN Bentayan, Umno di Bukit Naning, soal merajuk tak timbul. Mungkin merajuk satu dua hari selepas itu ok, perjuangan parti lebih utama.

"Kita sudah ikrar taat setia, apa diputuskan Perdana Menteri kita akur, kita berdepan musuh-musuh BN bukan kita nak berlaga dalam parti, fokus utama ingin serang pembangkang dan memenangi PRU-13," katanya kepada mStar Online.

Saipolbahari yang juga Pengerusi BN bahagian Bakri, berkata sasaran utama calon yang sudah diberikan amanat oleh kepemimpinan parti ialah mendapatkan lebih majoriti untuk membentuk kerajaan supaya dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Mengenai dakwaan ada pihak yang mengatakan 13 PDM akan ditutup sebagai tanda protes terhadap calon dipilih, Saipolbahari menyifatkan ia sebagai cerita 'radio rosak' kerana sebaik saja beliau pulang dari Johor Baru selepas menemui Menteri Besar, keadaan amat baik.

"Semua PDM tiada usaha ke arah itu, saya sudah jumpa semua dan menyampaikan mesej pucuk pimpinan iaitu Perdana Menteri serta Datuk Abdul Ghani, apa yang kita lakukan ialah mahu menawan semula Bakri.

"Saya nafikan sepenuhnya pimpinan PDM bertindak demikian dan semua bersama parti menjalin hubungan terbaik dan kita akan gunakannya sebagai jentera terkuat parti, sebenarnya mereka (pembangkang) yang bercakaran terutama pada peringkat DUN dan Parlimen.

"Kita dah beri lima tahun, sepatutnya sebagai Ahli Parlimen dia membawa pembangunan tapi tak wujud di sini. Apa yang mereka bawa? BN yang bawa ke sini, masyarakat Cina sudah benci kerana tambahan suara mereka tidak ada, apatah lagi orang Melayu," katanya.

Sementara itu, Saipolbahari mengetuai majlis memperkenalkan calon Parlimen dan DUN kawasan Bakri berlangsung di PDM Parit Tiram, di sini, yang dihadiri kira-kira 500 penyokong.

Hadir sama Calon Parlimen Bakri, Chris Lee Ching Yong, calon DUN Bentayan, Helen Fong dan calon DUN Sungai Abong, Datuk Dr Haris Salleh.

Artikel Berikut

Artikel Lain