suria

Jabatan Peguam Negara Belum Terima Siasatan Berhubung Video Seks

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara masih belum menerima kertas siasatan berhubung klip kes video seks, yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin parti politik pembangkang.

Ketua Bahagian Pendakwaan Abdul Wahab Mohamed berkata kes itu masih dalam siasatan polis.

"Kertas siasatan belum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya oleh pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Pejabat Peguam Negara pada Rabu.

Minggu lepas, beberapa blog menyebarkan klip video lucah yang dikaitkan dengan pemimpin politik itu, memaparkan aksi panas beliau dengan seorang wanita di sebuah hotel.

Pada sidang media itu, Abdul Wahab turut mengumumkan bahawa tiga lagi lelaki akan didakwa di Mahkamah Majistret esok atas pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata ini termasuk kes seorang lelaki berusia 70 tahun di Kedah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menampar muka pengadu akibat perselisihan faham berhubung isu parti politik.

Seorang lelaki juga akan didakwa di Perlis bagi kesalahan melakukan khianat merosakkan pelbagai bahan kempen kepunyaan parti politik.

Di Melaka, seorang lelaki akan didakwa atas kesalahan melakukan ugutan jenayah dan khianat.

Abdul Wahab berkata setakat petang ini, 22 kes diarah untuk dilakukan siasatan lanjut, termasuk perhimpunan tanpa notis (tujuh kes), perbuatan khianat (enam kes), ugutan jenayah dan perbuatan menghasut masing-masing tiga kes.

Beliau juga berkata sebanyak 39 kes tiada tindakan lanjut dan antara alasannya ialah tiada suspek yang ditangkap, tiada saksi dan CCTV di tempat kejadian serta nilai kerugian adalah rendah. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain