suria

Calon BN Parlimen Titiwangsa Jamin Tanah Kg Baru Tidak Akan Dirampas

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani memberi jaminan kerajaan BN tidak akan mengambil tanah di Kampung Baru secara paksa bagi pembangunan semula kawasan itu.

Sebaliknya kata beliau, pelan pembangunan Kampung Baru yang dicadangkan itu memberi tawaran kepada pemilik dan pewaris yang mahu membangunkan tanah mereka.

"Tidak ada klausa membenarkan tanah diambil alih atau dirampas secara paksa oleh kerajaan kerana itu bukan tanah setinggan tetapi adalah milik kekal penduduk, mereka mempunyai geran dan adalah tanah anugerah Sultan Selangor," katanya ketika ditemui pada sesi memperkenalkan calon BN, di sini Khamis.

Isu pembangunan Kampung Baru adalah antara yang sering dibangkitkan pembangkang, kononnya cadangan itu akan merugikan pemilik tanah.

Johari berkata beliau sedia berdebat dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan keikhlasan kerajaan BN membantu penduduk Kampung Baru.

"...harap rakyat janganlah tertipu atau terpedaya dengan cerita tanah Kampung Baru akan tergadai jika undi BN...ini adalah janji kita kepada rakyat," katanya.

Katanya jika menang pada pilihan raya kali ini, beliau mahu meneruskan agenda utama kerajaan menyelesaikan isu perumahan bagi golongan berpendapatan rendah.

Pada pilihan raya ini, Johari yang merupakan muka baharu BN akan berdepan calon PAS, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain